Puluhan pengunjung karnival bikin onar, selamba kencing di halaman rumah warga emas


  • Benua
  • Isnin, 05 Sep 2022

Sekurang-kurangnya 30 individu yang menghadiri pesta itu, berjalan menuruni tangga hadapan rumahnya menuju ke halaman kecil untuk membuang air kecil. — Agensi

SEORANG warga emas meluahkan rasa meluat selepas mendapati puluhan pengunjung di Karnival Notting Hill, England membuang air kecil di halaman berhampiran pintu depan rumahnya.

Lapor Daily Mail, Susan Watts, 69, menggunakan aplikasi loceng pintu untuk merakam kejadian tersebut.

Watts berang selepas mendapati sekurang-kurangnya 30 individu yang menghadiri karnival itu, berjalan menuruni tangga hadapan rumahnya menuju ke halaman kecil untuk membuang air kecil di hartanah di Notting Hill, London, England.

Menurut Watts, kawasan itu dicemari dengan air kencing dan berbau busuk sepanjang tempoh dua hari acara yang menarik hampir dua juta pengunjung.

Pesara itu turut menghantar rakaman video memaparkan kira-kira 30 individu berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Westminster dan persatuan perumahan.

“Sebenarnya lebih 30 orang menjadikan halaman rumah saya sebagai tandas.

“Tindakan peserta itu adalah tidak bersih dan amat menjijikkan. Saya tidak boleh berdiri di hadapan rumah saya kerana bau busuk, seperti berada dalam tandas kotor,” katanya.

Selepas menghantar rakaman itu, Watts meminta pihak berkuasa tempatan dan persatuan perumahan untuk mencuci halaman rumahnya.

Namun, Watts dimaklumkan perkhidmatan itu akan menelan kos perbelanjaan RM387 kerana halaman tersebut dianggap sebagai kawasan persendirian.

“Saya tak percaya majlis perbandaran meminta saya membayar kos untuk membersihkan kekotoran disebabkan oleh pengunjung karnival yang dibenarkan oleh mereka,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

30 Orang Kencing, Depan Rumah, Viral, England