SEBUAH pangsapuri di al-Junied, Singapura terbakar akibat sebatang lilin yang menyala sehingga menyebabkan api marak di sebuah unit di tingkat enam.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran di Blok 3 Upper Aljunied Lane sekitar pukul 7.05 pagi dan berjaya menyelamatkan 10 orang daripada unit bersebelahan.
Jelasnya, tiga penghuni berjaya menyelamatkan diri, dan dua individu lain enggan dihantar ke hospital.
“Kebakaran itu melibatkan bahagian ruang tamu sebuah rumah di tingkat enam dan api berjaya dipadamkan menggunakan jet air.
“Siasatan awal mendapati lilin yang menyala di ruang tamu unit tersebut merupakan punca kebakaran itu,” katanya lapor berita.mediacorp.
SCDF mengingatkan orang ramai tidak meninggalkan sebarang bahan yang menyala seperti lilin ataupun kayu kemenyan tanpa diawasi dan memadamkan bahan-bahan tersebut sebelum meninggalkan rumah.
Selasa lalu, seorang penghuni maut dan tiga lagi diselamatkan dari unit bersebelahan susulan kebakaran di sebuah pangsapuri di Jurong East, Singapura.
Kebakaran kedua di pangsapuri sama tercetus Rabu lalu, yang berkemungkinan disebabkan oleh bara api. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram