SEORANG ibu tunggal dari Berkshire, England yang terpaksa 'ikat perut' bagi menampung dua anaknya telah dimasukkan ke hospital selama dua minggu akibat masalah kekurangan zat.
Ibu berkenaan, Kelly Thomson, 43, berkata, peningkatan kos sara hidup telah menambah beban dirinya sekeluarga hingga terpaksa mengehadkan perbelanjaan kepada £40 (RM213) seminggu.
Meskipun Thomson menerima bantuan bulanan kerajaan sehingga £1,300 (RM6,922), wang bulanan itu cuma berbaki £160 (RM852) selepas membayar sewa dan bil-bil lain.
"Saya benci apabila bangun setiap pagi dan perlu memikirkan terpaksa berdepan perkara yang sama ini.
"Kos sara hidup adalah cukup tinggi kebelakangan ini dan saya sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sejujurnya, saya merasakan saya terpaksa untuk mengemis," katanya.
Tambahnya, sejak inflasi meningkat, dia terpaksa makan hanya sekali sehari sehingga menyebabkan dirinya kehilangan hampir 12 kilogram.
Selain itu, wanita itu turut mengakui dia pernah menjual televisyen yang diterima anak perempuannya sebagai hadiah hari jadi bagi mendapatkan wang untuk membeli makanan dan barangan keperluan.
Kos sara hidup hari ini lebih teruk berbanding sebelum ini, saya rasa sangat sedih dengan kadar inflasi ketika ini, semua barangan semakin mahal setiap kali saya ke pasar raya," katanya.
Ibu kepada cahaya mata berusia 14 dan 11 tahun ini telah dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali berikutan kekurangan zat.
Lebih teruk lagi, pemeriksaan kesihatan turut mendapati dia terpaksa menerima pemindahan darah akibat kandungan zat besi yang rendah berikutan kesukaran untuk mendapatkan makanan segar.
"Saya pernah terfikir untuk mencuri, tetapi saya tidak boleh memikirkan nasib anak-anak sekiranya saya ditahan polis.
"Saya hanya mampu menangis setiap hari kerana perkara ini semakin teruk dan saya rasa tersepit dan sesak sehingga tidak dapat melakukan apa-apa," ujarnya.
Rabu lalu, data daripada Jabatan Statistik Negara menunjukkan bahawa kadar inflasi di United Kingdom (UK) berada di tahap tertinggi sejak 1982, iaitu pada kadar 10.1 peratus.
Thomson turut berkata, ketika musim sejuk, dia hanya menggunakan lilin untuk memanaskan diri kerana gagal membayar bil elektrik selain berkongsi katil untuk menghangatkan badan.
"Saya bimbang khuatir akan kesihatan diri serta anak-anak dan pada Jun lalu, mereka pernah nampak saya pengsan.
"Sebelum ini, saya tidak pernah rasa begini dan saya pasti perkara itu pasti akan memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental anak-anak," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram