TIDAK tahan dengan kenaikan harga barang, seorang kanak-kanak perempuan dari Chhibramau, Uttar Pradesh, India tekad menulis surat luahan kepada Perdana Menteri Narendra Modi.
Gadis itu telah dikenal pasti sebagai Kriti Dubey, seorang pelajar darjah 1 yang berasal dari bandar Chhibramau di daerah Kannauj di Uttar Pradesh.
Dalam surat itu, murid berkenaan juga menceritakan bagaimana dia tidak boleh membeli sebungkus mi segera kerana kekurangan wang dan harga barang yang meningkat.
Menurutnya, mi segera jenama Maggi yang dulunya cukup jika membawa 5 Rupee (RM 0.28) untuk membeli makanan tapi kini dia memerlukan 7 Rupee (RM0.39) bagi mendapatkan makanan segera tersebut.
Tangkap layar surat kiriman Kriti Dubey.
"Nama saya Kriti Dubey. Saya belajar di kelas 1. Modi, kamu telah menyebabkan kenaikan harga yang sangat besar. Malah pensel dan pemadam saya menjadi lebih mahal. Harga Maggi juga meningkat. Ibu saya kini memarahi saya kerana asyik meminta pensel baru. Apa yang perlu saya lakukan? Kanak-kanak lain mencuri pensel saya."
Surat yang ditulis dalam bahasa Hindi itu tular di media sosial dan ayahnya, Vishal Dubey yang juga seorang peguambela tampil menjelaskan keadaan anaknya.
Majistret Sub-Bahagian Chhibramau, Ashok Kumar memberitahu pemberita bahawa dia menyedari tentang surat gadis itu dan akan cuba membantunya.
“Saya sedia membantu kanak-kanak itu dalam apa cara sekalipun dan akan cuba sedaya upaya untuk memastikan suratnya sampai kepada pihak berkenaan,” katanya.
Tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Jammu dan Kashmir menyiarkan video yang mengeluh tentang kesan pandemik Covid-19 ke atas kelas dalam talian.
Kanak-kanak itu meluah mengenai kerja rumah dan sesi kelas yang lama.
Selepas video itu menjadi tular, Leftenan Gabenor Jammu dan Kashmir Manoj Sinha mengisytiharkan beliau mengarahkan jabatan pendidikan sekolah mengeluarkan polisi dalam tempoh 48 jam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram