Pekerja mati terhimpit antara bas dan tiang ketika beri isyarat undur


  • Benua
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Kejadian seorng pekerja terhimpit ​​pada tiang dalam kejadian di Kranji pada 3 Ogos lalu. — Agensi

SEORANG pekerja berusia 43 tahun maut selepas mangsa terhimpit antara tiang dengan sebuah bas yang sedang berundur dalam kejadian pada 3 Ogos lalu.

Dalam satu pemakluman yang dimuat naik oleh Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH), insiden itu berlaku ketika mangsa yang berdiri di sebelah tiang, memberi tunjuk arah atau isyarat untuk bas tersebut berundur.

"Selepas mengundur, pemandu itu menggerakkan bas tersebut ke hadapan untuk membetulkan kedudukannya tetapi ia menghimpit pekerja berkenaan pada tiang itu," demikian menurut Majlis WSH seperti dilaporkan Channel News Asia (CNA) pada Khamis.

Menjawab pertanyaan CNA, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata, insiden itu berlaku di Jalan Lam Huat, Kranji, Singapura kira-kira pukul 11 pagi, 3 Ogos lalu.

Menurut MOM, mangsa ialah warga China yang bekerja sebagai pemandu. Dia dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat di mana dia dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut dan sudah mengarahkan majikan, Singapore Towing Equipments, supaya menghentikan semua operasi tunda kenderaan.

"Sebagai langkah umum keselamatan, apabila memberi panduan bagi pergerakan kenderaan di tempat yang sempit, para majikan dan penyelia seharusnya menjalankan penilaian keselamatan dan berkomunikasi dengan jelas tentang penunjuk-penunjuk keselamatan kepada para pekerja yang melakukan tugas itu," menurut MOM.

Mereka juga perlu memastikan terdapat pelan pengurusan trafik dengan tempat meletak kenderaan yang jelas ditandakan selain melaksanakan pengurusan titik buta menggunakan cermin-cermin cembung, bonggol jalan serta papan tanda. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram