
SITUASI yang tidak dapat dilupakan buat seorang penghantar makanan di Dubai apabila perbuatan baiknya mendapat pujian daripada Putera Mahkota Dubai.
Tindakan lelaki itu yang mengalihkan batu-bata dari jalan sibuk menjadi tular sehingga videonya turut dikongsi oleh Putera Mahkota Dubai.
Dalam video tular itu, kelihatan seorang ejen penghantar makanan syarikat Talabat sedang mengalihkan dua batu bata yang terbiar di atas jalan.
Setelah semua kenderaan itu berlalu, dia cepat-cepat mengambilnya dan meletakkannya di tepi jalan sebelum kembali ke motosikalnya.
Video rakaman Abdul Ghafoor mengalihkan batu-bata itu.
Putera Mahkota Dubai, Hamdan Mohammed Al Maktoum, kemudiannya berkongsi video seorang penghantar makanan terbabit mengalihkan batu bata dari jalan sibuk yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan.
"Satu perbuatan baik di Dubai yang patut dipuji. Bolehkah seseorang kenalkan saya kepada lelaki ini?" tanya Hamdan di Twitter rasminya.
Lelaki itu kemudiannya dikenali sebagai Abdul Ghafoor.
Dalam ciapan lain, Sheikh Hamdan menyatakan bahawa lelaki baik itu berjaya ditemui.
“Terima kasih, Abdul Ghafoor, anda seorang yang luar biasa. Kita akan berjumpa tidak lama lagi!,” katanya.
Putera Mahkota Dubai secara peribadi menghubungi penghantar makanan itu untuk mengucapkan terima kasih.
“Putera Mahkota Dubai berterima kasih kepada saya atas apa yang telah saya lakukan. Dia juga berkata dia berada di luar negara ketika ini dan berjanji akan bertemu saya sebaik sahaja dia pulang,” kata Abdul Ghafoor seperti dilaporkan Khaleej Times.
Menurut kakitangan Talabat itu, dalam beberapa minit selepas Sheikh Hamdan menyiarkan video itu, dia mendapat panggilan daripada Polis Dubai yang memaklumkan bahawa Putera Mahkota Dubai itu ingin bercakap dengannya.
Talabat turut membalas perbuatannya dengan memberinya tiket penerbangan agar dapat meluangkan masa bersama keluarganya di Pakistan.
Namun, lelaki berkenaan menyatakan akan pulang ke kampung halaman selepas berjumpa dengan Putera Mahkota Dubai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram