Tujuh hilang termasuk 3 OKU di Kota Belud dijumpai tengah cari labi-labi


  • 112
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Kesemua mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. — Facebook Info Kemalangan

DUA remaja dan lima kanak-kanak dikhuatiri hilang ketika bermain di sekitar Kampung Kebayau, di Kota Belud, Sabah pada petang Ahad berjaya dijumpai awal pagi Isnin.

Memetik laporan dari Sabah Media News, kesemua mangsa dijumpai oleh penduduk kampung kira-kira pukul 6 pagi, Isnin di tepi anak sungai ketika kanak-kanak itu sedang mencari labi-labi kira-kira 20 kilometer dari lokasi terakhir mereka dilihat bermain di kawasan Kampung Kebayau.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Kebayau Lery Jobe Midih, kanak-kanak yang dijumpai memberitahu penduduk kampung bahawa mereka sedang mencari labi-labi.

“Kata salah seorang kanak-kanak terbabit, mereka takut mahu pulang semalam kerana sudah lewat malam bimbang dimarahi oleh ibu bapa mereka jadi mereka meneruskan misi mencari labi-labi keesokan harinya (hari ini),” kata Lery memetik dari Sabah Media News pada Isnin.

Kesemua mangsa terdiri daripada empat beradik termasuk tiga daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU) iaitu Freddy Kerinsuk, 15; Arni, 13; Alistar, 9, dan adik mereka Royce, 3.

Selain itu, Mecklorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5, yang dilaporkan hilang pada Ahad itu.

Tambah Lery, hanya kanak-kanak yang bernama Royce Kerinsuk sahaja kelihatan lemah saat dijumpai kerana lapar namun segera diberikan rawatan dari pihak bomba.

Bagaimanapun, dilaporkan kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Lery, beliau menerima maklumat mengenai kehilangan tujuh kanak-kanak terbabit dari ibu bapa yang membuat aduan sekitar pukul 8 malam, Ahad.

“Sebenarnya mereka semuanya sembilan orang keluar bermain tetapi dua orang kanak-kanak dikenali sebagai Obel dan Dido pulang ke rumah masing-masing.

“Obel dan Dido memberitahu ibubapa mereka yang mereka bermain di pinggir kampung dekat dengan hutan,” katanya.

Lery berkata, sebaik menerima aduan itu, beliau bertindak menghubungi semua agensi keselamatan untuk mencari mereka.

Beliau turut berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat tujuh mangsa kanak-kanak yang dikhuatiri hilang termasuk penduduk kampung, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). — Sabah Media News

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram