POLIS Indonesia menetapkan Bharada Richard Eliezer atau Bharada E sebagai suspek utama dalam kes kematian anggota polis, Nofriansyah Yosua Hutabarat pada awal Julai lepas.
Jurucakap polis, Andi Rian berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan penyelidikan dan bahan bukti yang dikumpul sejak kes itu berlaku sehingga kini.
Jelas Andi, Bharada E yang juga anggota polis dan merupakan pembantu kepada Inspektor Ferdy Sambo didakwa menembak mangsa sehingga mati pada 8 Julai lalu.
Kejadian itu berlaku selepas suspek dan mangsa mengiringi isteri Ferdy, Putri Chandrawathi dalam perjalanan dari Magelang, Jawa Tengah ke Jakarta, Indonesia.
“Insiden tembakan berlaku selepas mangsa dikatakan cuba melakukan perkara tidak elok kepada Putri Chandrawathi di kediamannya di Kompleks Asrama Polis Duren Tiga, Jakarta Selatan, Indonesia.
“Kejadian itu menyebabkan Putri bertengkar dengan mangsa dan pergaduhan itu didengari suspek menyebabkan dia naik ke bilik isteri majikannya.
“Selepas Bharada E tiba di kamar Putri, mangsa terus mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan ke arah suspek, menyebabkan insiden berbalas tembakan berlaku,” kata Andi seperti yang dilapor Kompas.com.
Kejadian itu menyaksikan mangsa maut dengan tujuh tembakan, manakala suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu, Ferdy didakwa menjadi suspek utama selepas beliau dituduh cemburu dengan hubungan mesra antara isterinya dengan mangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram