Gara-gara aiskrim berasap, budak 5 tahun melecur disambar api


  • Benua
  • Khamis, 14 Jul 2022

Keadaan Ahsan di hospital yang melecur di muka dan mulut akibat aiskrim berasap. — Agensi

SEORANG kanak-kanak berdepan detik cemas selepas mengalami kecederaan serius di muka ketika makan aiskrim berasap yang mengandungi campuran nitrogen cair.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa Ahsan Farid Trisnanto, 5, bersama ayahnya, Sutrisno, melihat persembahan tarian tradisional Jawa Reog Ponorogo di Desa Ngasinan, Kecamatan Jetis, Indonesia.

Ketika menonton rancangan tersebut, ada peniaga aiskrim berasap di tempat kejadian. Ahsan kemudian meminta ayahnya membeli aiskrim itu.

Selepas dibeli dan hendak dimakan oleh Ahsan, aiskrim itu tiba-tiba terbakar dan menyambar baju mangsa.

Ayahnya yang panik cuba membantu untuk memadamkan api menggunakan tangannya.

Penduduk yang menonton Reog Ponorogo segera membawa Ahsan ke Hospital Besar Muslimat Ponorogo.

Sutrisno berkata, dia membeli aiskrim tersebut dengan harga Rp 20 ribu (RM5.91) daripada salah seorang peniaga jalanan.

"Anak saya baru nak makan tapi tiba-tiba api keluar dari mangkuk ais itu," katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Perkhidmatan Perubatan Muslimat Ponorogo, Dr Siti Nurohmah, mangsa melecur di muka dan mulut. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram