SEKUMPULAN penjenayah yang terlibat dengan kes rogol berkumpulan terhadap seorang remaja wanita di Hyderabad, Telangana, India pada penghujung Mei dipercayai menggunakan kenderaan milik kerajaan jenis Toyota Innova Crysta.
Buat masa kini, polis telah menahan kesemua enam tertuduh yang disyaki dalang kes itu dan salah seorang suspek adalah anak lelaki ahli All India Majlis-e-Ittehadul Muslimeen (AIMIM), sementara seorang lagi suspek disyaki saudara ahli politik ternama manakala empat daripada tertuduh juga di bawah umur.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar wanita berusia 17 tahun itu dipercayai dirogol beramai-ramai di dalam kereta oleh lima budak lelaki bawah umur yang ditemuinya pada parti tanpa alkohol, Sabtu malam.
Berdasarkan aduan daripada bapa gadis itu pada 31 Mei, polis pada mulanya meletakkan kes di bawah Seksyen 354 (serangan atau kekerasan jenayah ke atas seorang wanita untuk mengaibkan kehormatannya) Kanun Keseksaan India.
Namun kini, polis menukar kes kepada Seksyen 376D (rogol berkumpulan) dan menambah Seksyen 9 dan 10 Akta POCSO, berikutan pemeriksaan kesihatan gadis itu serta rakaman keterangannya.
Empat pasukan polis yang memburu remaja bawah umur itu berjaya merampas sebuah kereta milik salah seorang tertuduh.
Menurut polis, gadis itu dan seorang rakannya pergi ke pub untuk menghadiri majlis hari jadi dan sewaktu di sana dia didakwa mula berkenalan dengan sekumpulan kanak-kanak bawah umur yang menawarkan untuk menghantarnya pulang.
Polis berkata, tertuduh membawa mangsa ke pelbagai tempat sebelum merogolnya secara beramai-ramai di kawasan terpencil.
Kesemua suspek kemudiannya menghantar semula mangsa kembali ke pub tersebut sekitar pukul 7.32 malam.
Selepas diturunkan ke pub itu, mangsa bertindak menghubungi ibunya dan berjaya dibawa pulang oleh bapanya.
Selepas tiga hari, gadis itu memberitahu ibu bapanya dan terus membuat aduan kepada pihak polis.
“Terdapat kira-kira lapan anak muda di dalam kereta itu dan sebuah lagi kenderaan yang mengekori mereka. Semasa menawarkan untuk menghantarnya ke rumah, mereka memandu ke kedai roti terlebih dahulu dan kemudian pergi dengan kenderaan yang lebih besar dengan mendakwa diesel telah habis.
"Di tempat terpencil, lima kanak-kanak bawah umur merogolnya secara beramai-ramai dan meninggalkannya di pub pada 7.32 malam,” kata seorang pegawai berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Bapa gadis itu berkata, dia membenarkan anak perempuannya pergi ke parti yang dihadiri 150 orang itu kerana ia adalah pesta tanpa alkohol dan perkara itu juga disahkan sendiri oleh pihak polis.
Menurutnya, pada awalnya gadis itu mengalami lebam di tangannya namun hanya memberitahu bahawa dia cedera kerana terjatuh.
Selepas pihak polis menyedari terdapat kecederaan di belakang lehernya, dia terus diberi kaunseling oleh pegawai polis wanita dan mendedahkan bahawa dia dirogol.
Sebelum ini, jurucakap BJP, K Krishna Sagar Rao mengecam insiden itu dan mengutuk pihak polis Hyderabad berikutan tiada sebarang tangkapan termasuk tanggapan mendakwa terdapat campur tangan politik.
Namun, pihak polis menafikan dakwaan tekanan politik dalam kes itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram