Hospital nafi laluan kes khas VIP punca kematian budak lelaki


  • Benua
  • Rabu, 08 Jun 2022

Seorang pegawai dari Hospital Buriram (kedua dari kanan) bercakap dengan nenek Kittisak Kromthaisong (paling kanan), budak lelaki berusia 12 tahun yang meninggal dunia di hospital itu akibat apendiks pecah. — Agensi

PIHAK Hospital Buriram, Thailand mengakui bahawa terdapat kepincangan dalam pengurusan hospital itu sehingga menyebabkan kematian seorang budak lelaki berusia 12 tahun akibat pecah apendiks pada 31 Mei lalu.

Kittisak Kromthaisong, pelajar Mathayom Suksa 1 di sebuah sekolah di daerah Phutthaisong, mengalami gejala apendisitis pada petang 29 Mei dan dikejarkan ke Hospital Phutthaisong sebelum dipindahkan ke Hospital Buriram.

Bapanya, Somboon Kromthaisong, 42, berkata, Kittisak dimasukkan ke Hospital Buriram pada hari yang sama dan diagnosis mengesahkan kanak-kanak itu menghidap apendisitis dan memerlukan pembedahan.

Katanya, budak lelaki itu sepatutnya menjalani pembedahan pada hari berkenaan tetapi atas sebab tertentu ia tertangguh sehingga petang 30 Mei.

Selepas pembedahan, budak lelaki itu mengalami jangkitan darah kerana apendiksnya pecah semasa menunggu lama untuk pembedahan.

Kittisak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) tetapi disahkan meninggal dunia pada pukul 2.25 pagi, 31 Mei.

Somboon mempersoalkan kepada pihak hospital mengapa pembedahan anaknya telah ditangguhkan begitu lama sehingga menyebabkan kematiannya dan dia menuntut keadilan puteranya itu.

Pada Isnin, Timbalan Pengarah Hospital Buriram, Rakkiat Prasongdee menjelaskan pada sidang akhbar bahawa Kittisak pada awalnya dijadualkan menjalani pembedahan pada pukul 5 petang pada 29 Mei.

Setelah itu, pembedahan itu dijadualkan semula pada pukul 11.30 malam kerana kanak-kanak itu mengalami degupan jantung yang tidak teratur dan dia diberi titisan garam.

Tetapi pada pukul 11.30 malam terdapat tiga lagi pesakit menunggu pembedahan di tiga bilik bedah hospital yang mana kesemuanya adalah kes kecemasan.

Menurutnya, disebabkan ketidakpastian mengenai bila ketiga-tiga pembedahan itu akan selesai, Kittisak dipindahkan semula ke wadnya dan dia dibawa ke pembedahan pada sebelah petang pada 30 Mei.

Rakkiat berkata, semasa pembedahan itu pakar bedah mendapati apendiks Kittisak telah pecah dan memerlukan 45 minit menyelesaikan operasi pembedahan itu yang mana dijangka selesai pada pukul 2 petang.

Bagaimanapun, keadaan budak lelaki itu merosot kerana mengalami jangkitan darah dan dia dimasukkan ke ICU tetapi disahkan meninggal dunia pada 2.25 pagi, 31 Mei.

Dr Rakkiat turut menafikan dakwaan bahawa operasi Kittisak telah ditangguhkan untuk memberi laluan kepada "kes khas" VIP.

Pada hari Selasa, pengarah hospital itu mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan kes hospital itu, menyebabkan pembedahan Kittisak tertangguh dan membawa kepada kematiannya.

Dia menyatakan kekesalan terhadap kematian budak itu dan menyatakan bahawa pihak hospital akan mengambil insiden berkenaan sebagai pengajaran untuk meningkatkan perkhidmatannya dan mengelakkan kesilapan seperti itu berulang.

Dr Puwadol berkata, beliau akan memanggil mesyuarat pentadbir hospital, doktor, jururawat dan pasukan bilik bedah dan membuat perubahan kepada sistem, terutama bagi kes yang memerlukan pembedahan kecemasan.

Jelasnya. keluarga Kittisak akan menerima bantuan dalam melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk memohon pampasan yang mereka berhak di bawah undang-undang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram