Pendatang haram Myanmar jadi suspek pembunuhan lelaki tempatan


  • Benua
  • Jumaat, 03 Jun 2022

Pendatang haram Myanmar ditahan dalam bilik sewa di tambon Ban Phru daerah Hat Yai, Songkhla, pada malam Khamis.

LEBIH 100 pendatang tanpa izin Myanmar ditahan apabila pegawai menyerbu rumah sewa di daerah Hat Yai, Thailand pada Khamis ketika siasatan mengenai kes pembunuhan seorang lelaki tempatan yang mayatnya ditemui dalam sebuah kubur pada Rabu.

Pegawai penyiasat berkata, 109 warga Myanmar tanpa izin ditangkap dalam 12 bilik yang penuh sesak di dua rumah sewa di kampung Moo 8 Tambon Ban Phru, Hat Yai.

Pihak polis sebelum ini menahan kira-kira 60 pendatang tanpa izin berikutan penemuan mayat Maddol Binsan, 40, yang diikat pada pagi Rabu.

Polis mempercayai mangsa dibunuh dan dikebumikan di dalam hutan berhampiran sebuah padang golf selepas dia terserempak dengan kem sementara pencari kerja secara haram Myanmar yang menunggu untuk diseludup ke Malaysia, berhampiran Ban Khlong Pom di Tambon Ban Phru.

Lelaki berkenaan dilihat kali terakhir dalam rakaman kamera pengawasan yang mana pada ketika itu dia sedang meninggalkan rumahnya di kampung untuk memancing pada petang Selasa.

Vinai Tonyalae, ketua tambon Banphru berkata, penyeludup dan pendatang tanpa izin adalah suspek utama.

Maddol tidak mempunyai sebarang konflik dengan mana-mana penduduk tempatan dan sentiasa membantu dalam aktiviti kampung.

Lelaki itu bekerja sebagai subkontraktor pemangkasan pokok di Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah di daerah Na Mom.

Menurut Vinai, pembunuhan itu menakutkan penduduk tempatan kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai penoreh getah dan perlu bangun awal untuk pergi ke hutan dan bekerja di ladang getah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram