Tiada lagi eksport ayam selepas 1 Jun


  • Primer
  • Isnin, 23 Mei 2022

Fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Mafi akan dioptimumkan bagi mewujudkan stok penimbal ayam.

MALAYSIA menghentikan pengeksportan 3.6 juta ekor ayam sebulan, berkuat kuasa 1 Jun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam di dalam negara kembali stabil.

"Mesyuarat kabinet turut bersetuju untuk mengambil pendekatan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan agensinya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pemansuhan permit kelulusan (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam baru-baru ini adalah bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

"Sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat menetapkan untuk mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam, selain menambah dan mengiktiraf loji sembelihan ayam di luar negara," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa.

"Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran," katanya.

Ujarnya, harga siling ayam standard pada ketika ini adalah RM8.90 sekilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

"Bagaimanapun, kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran," katanya.

Menurutnya, setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram