SEORANG lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya merempuh tembok jalan di kawasan perumahan Blok A Palm Spring, Kota Damansara di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.15 malam ketika mangsa berumur 55 tahun itu memandu seorang diri di lokasi kejadian.
"Siasatan dijalankan mendapati Honda CRV yang dipandu lelaki itu terbabas sebelum melanggar tembok kiri jalan di lokasi kejadian.
"Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dikejarkan ke Hospital Thomson, Petaling Jaya sebelum disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor, Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram