Penculik larikan budak tak pakai pelitup muka, polis jumpa 10 mangsa lain


  • Benua
  • Jumaat, 13 Mei 2022

Fahri antara mangsa culik yang ditemukan selamat selepas tiga hari dilaporkan hilang. — Agensi

POLIS Indonesia menemui sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak lain ketika menahan seorang penjenayah yang menculik dua kanak-kanak di Jakarta Selatan dan Kabupaten Bogor beberapa hari lalu.

Ketua Polis Bogor, Asisten Komisaris Besar, Iman Imanuddin berkata, selain menyelamatkan dua beranak itu, pihaknya turut menemui 10 lagi kanak-kanak yang dipercayai diculik penjenayah di beberapa kawasan lain.

"Setelah ditahan, kami menyelamatkan 10 anak itu. Kami telah membawanya ke tempat yang selamat," katanya kepada CNNIndonesia.com pada Khamis (12/5).

Menurut Iman, kanak-kanak lelaki itu diculik suspek di beberapa tempat di kawasan Jabodetabek, bermula dari Jakarta Barat, Jakarta Pusat, Jakarta Selatan dan Tangerang Selatan.

Bagaimanapun, dia enggan menjelaskan lebih lanjut berhubung motif di sebalik tindakan suspek kerana masih dalam siasatan.

Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bogor selepas ditahan di kawasan Senayan, Jakarta Selatan.

"Ada (mangsa culik) dari Jakarta Selatan, Jakarta Pusat, Jakarta Barat, Tangerang Selatan. (Motif) masih disiasat," katanya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, Kevin, dilaporkan hilang setelah bermain bersama teman-temannya di kawasan Tanah Kusir, Jakarta Selatan, pada Selasa (10/5).

Kevin hilang selepas dibawa seorang lelaki yang mengaku sebagai anggota polis dengan alasan mahu mengawal protokol kesihatan. Kevin dan dua rakannya tidak memakai pelitup muka ketika kejadian itu berlaku.

Kakak mangsa, Meyla Azzahra berkata, pelaku membawa seorang lagi budak lelaki ketika hendak menculik Kevin. Kanak-kanak itu dikenali sebagai Fakhri, seorang budak lelaki yang hilang di Bogor, pada Ahad (8/5) atau dua hari sebelumnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram