Putrajaya boleh dijadikan rujukan kepada Indonesia untuk Nusantara


  • Massa
  • Rabu, 11 Mei 2022

Putrajaya yang dibangunkan bertitik tolak pada visi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

BEKAS Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) di era pentadbiran Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, Dahlan Iskan menarik perhatian umum dengan membuat perbandingan antara Ibu Kota Negara (IKN) baharu negara itu dengan wilayah pentadbiran kerajaan Malaysia, Putrajaya.

Pandangan yang dikongsi Dahlan itu bertepatan dengan usaha Indonesia memindahkan wilayah pentadbiran negara itu dari Jakarta ke Kalimantan Timur yang dikenali sebagai Nusantara.

Putrajaya yang dibangunkan bertitik tolak pada visi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jelas Dahlan, merupakan sebuah kota yang dirancang dengan penuh teliti.

Kata Dahlan berkata, banyak hal yang menarik mengenai Putrajaya yang boleh dijadikan rujukan kepada Indonesia.

Menurut beliau, sekalipun banyak bangunan baharu dididirikan di Putrajaya, namun, suasana di situ masih redup dengan pokok-pokok yang ditanam dan persekitaran wilayah itu yang dikelola dengan rapi.

"Yang membuat IKN ini (Putrajaya) lebih indah adalah danau-danaunya. Semuanya danau buatan, untuk menyerap udara panas Putrajaya. Ada satu danau yang dibuat menggelang (bulatan). Sehingga terbentuk pulau di tengahnya," tulis Dahlan dalam blog peribadinya, disway.id.

Putrajaya, kata Dahlan, merupakan ibu kota baharu yang menggantikan Kuala Lumpur sejak 1999 pada asalnya merupakan ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai Perang Besar.

Sementara, penduduk di Putrajaya, katanya, dibatasi dengan hanya populasi seramai 100,000 orang sahaja.

Sekalipun dibina terancang, namun, Putrajaya tidak sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan kerana kota itu membosankan, dakwa Dahlan.

“Ibarat pohon, daunnya lebat buahnya jarang. Membosankan," kata Dahlan dalam tulisannya itu.

Mengimbas rancangan projek mega Putrajaya itu, Dahlan turut menyentuh bagaimana kerajaan Malaysia tidak terlepas berhadapan dengan cabaran untuk menjayakannya ekoran tercetusnya krisis kewangan pada 1998.

Sementelah hasrat Indonesia memindahkannya wilayah pentadbiran ke Kalimantan Timur pula, katanya, terganggu dengan penularan pandemik Covid-19.

"Biarpun berhadapan krisis kewangan, namun, pembangunan (Putrajaya) berjalan terus oleh kontraktor Malaysia sendiri. Tidak boleh ada kontraktor asing. Seluruh bahan bangunan pun harus dari Malaysia. Material asing dibatasi hanya boleh 10 peratus," ujar Dahlan.

Seperti juga Nusantara, pilihan lokasi pemindangan Malaysia, kata Dahlan itu, bukan hanya satu, sebaliknya, terdapat dua pilihan iaitu daerah Prang Besar (Selangor) atau di Janda Baik (Pahang).

Tulis Dahlan lagi, Putrajaya merupakan kota baharu yang ketiga di Kuala Lumpur.

“Jauh sebelum itu, telah dibangun kota baru pertama pada 1974, yakni Shah Alam sebagai ibu kota negara bahagian Selangor yang baharu.

“Dengan demikian, Kuala Lumpur bukan lagi wilayah Selangor. Sebab, IKN harus berada di wilayah federal (Pusat).

"Ternyata 40 tahun kemudian IKN Malaysia pindah ke Putrajaya. Tanpa mencabut status wilayah federal Kuala Lumpur. Justeru, Selangor yang harus kembali menyerahkan sebagian wilayahnya ke Pusat. Untuk menjadi wilayah federal yang baharu Putrajaya," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, Dahlan mencadangkan, Kalimantan Timur mesti melakukan hal yang sama iaitu menyerahkan Nusantara ke pemerintah Pusat tanpa harus bertukar dengan wilayah lama ibu kota.

"Juga tanpa harus mempersoalkan apakah wilayah Jakarta tetap menjadi milik Pusat. Selama ini, apakah Jakarta wilayah Pusat?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram