GURU-GURU di Maghribi melancarkan mogok kedua di seluruh negara pada Isnin, dalam tempoh kurang sebulan ketika ketegangan memuncak antara guru-guru dan Kementerian Pendidikan negara berkenaan.
Menerusi mogok yang dilancarkan bermula 9 hingga 14 Mei 2022 itu, beribu-ribu guru kontrak Maghribi dijangka mengadakan protes nasional bagi menyokong rakan sekerja mereka, yang sedang dibicarakan kerana "melanggar undang-undang kecemasan kesihatan" dan "menghina pasukan keselamatan" semasa protes.
Pada Selasa, kira-kira sepuluh guru kontrak telah dibicarakan di mahkamah Rabat, Maghribi, bagaimanapun hukuman masih belum diumumkan.
Sementara itu, berpuluh-puluh rakan sekerja mereka mengadakan mogok di Marrakech untuk mengecam "tuduhan yang dibuat-buat" terhadap guru yang dituduh.
"Pada masa guru-guru sepatutnya berada di kelas mereka mengajar pelajar, mereka kini dihadapkan di mahkamah tanpa sebarang alasan selain fakta bahawa mereka memutuskan untuk turun ke jalanan dan memprotes keadaan kerja mereka," kata seorang guru kontrak, Mustafa Kehma.
Lebih 40 guru telah dibicarakan atas tuduhan serupa sejak beberapa bulan lalu, termasuk Nezha Majdi yang dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana "menghina pihak berkuasa awam dengan niat untuk merosakkan kehormatan mereka."
Majdi didakwa selepas dia memberitahu media bahawa berikutan penahanannya semasa protes, polis Maghribi telah menyerangnya secara seksual sepanjang 48 jam.
Katanya, dia menghabiskan masa di lima balai polis berbeza dan tiada siasatan dijalankan terhadap tuduhannya.
Ketegangan antara guru kontrak dan kerajaan bermula pada 2016 apabila negara Maghribi memutuskan untuk mewujudkan sistem pengambilan pekerja baharu di sekolah awam Maghribi, yang dikenali sebagai "sistem kontrak."
Guru sekolah awam di Maghribi biasanya diupah oleh kementerian pendidikan negara itu, tetapi sejak 2016, dianggarkan sejumlah 100,000 guru sekolah awam di Maghribi sebaliknya telah menandatangani kontrak dengan akademi serantau, apabila mereka diberikan pencen yang lebih rendah dan jaminan pekerjaan yang lebih minimum.
Dengan kadar pengangguran di Maghribi yang kini berada pada 12.7 peratus, para guru berkata, mereka tidak mempunyai alternatif selain menandatangani kontrak sementara tersebut.
Selama lebih empat tahun, guru kontrak telah memprotes keadaan kerja mereka yang tidak menentu menuntut pekerjaan tetap dan faedah perkhidmatan sosial yang lebih baik.
Sebelum dipilih pada September, Perdana Menteri baharu Maghribi, Aziz Akhannouch berjanji untuk mengutamakan pembaharuan pendidikan.
Walaupun beberapa kali pertemuan dengan guru kontrak, kabinet Akhannouch gagal menyelesaikan pertikaian itu setakat ini.
Terperangkap di antara perselisihan faham guru dan kerajaan, pelajar dilihat menjadi mangsa utama mogok kerana ia menjejaskan masa semasa musim peperiksaan.
"Setiap dua bulan, anak perempuan saya tidak belajar selama berpuluh-puluh jam untuk beberapa mata pelajaran penting, di mana dia sepatutnya mengambil peperiksaan akhir.
"Hal ini pelajar tidak ada kuasa bahkan mereka juga adalah mangsa keadaan," kata seorang ibu kepada seorang pelajar pada tahun terakhir sekolah menengah di Maghribi, Fatima.
Sementara itu, kementerian pendidikan berkata, pihaknya telah melancarkan sistem sokongan dengan kerjasama guru bersara yang bersedia membantu pelajar meneruskan pendidikan mereka semasa tempoh mogok.
Sebagai tindak balas, guru kontrak berkata, mereka enggan bersalah kerana mengamalkan hak perlembagaan mereka untuk mogok terhadap syarat kerja.
"Kementerian cenderung memberi tumpuan kepada bagaimana mogok kami memberi kesan kepada pelajar, bukannya cuba menyelesaikan isu nasional ini dengan menamatkan sistem kontrak dan menawarkan kami keadaan kerja yang lebih baik serta lebih sesuai dengan profesion guru," kata seorang guru kontrak Maghribi, Chaimae.
Guru kontrak juga telah berkata bahawa mereka dikenakan penalti kewangan sebanyak AS$70 (RM306) hingga AS$150 (RM656) untuk setiap bantahan yang mereka adakan, manakala guru kontrak di Maghribi hanya dibayar AS$ 500 (RM2189) setiap bulan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram