Beri kenyataan palsu, pengurus Tangmo berdepan dua hukuman berat


  • Benua
  • Selasa, 05 Apr 2022

Gatick yang juga rakan rapat Tangmo mengesahkan kepada pemberita bahawa dia telah membuat pengakuan selepas keluar daripada pertemuan dua jam dengan polis, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

PENGURUS Tangmo Nida iaitu Idsarin “Gatick” Juthasuksawat mengaku bersalah memberi kenyataan palsu kepada polis berkaitan punca kematian aktres tersebut yang terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Muang di Nonthaburi, Pol Kol Jaturon Anurakbundit berkata, Gatick mengaku bahawa dia telah memberikan kenyataan palsu kepada penyiasat.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan secara terperinci tentang pengakuannya.

Gatick yang juga rakan rapat Tangmo mengesahkan kepada pemberita bahawa dia telah membuat pengakuan selepas keluar daripada pertemuan dua jam dengan polis, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Pertuduhan membawa hukuman denda sehingga RM500 (4,000 baht) dan/atau penjara maksimum dua tahun.

Gatick ditemani oleh bekas Ahli Parlimen Parti Palang Pracharath Sira Jenjaka, yang kini menjadi penasihatnya.

Selain itu, Sira Jenjaka berkata, Gatick telah mendedahkan perkara sebenar dan memberi amaran kepada empat individu lain supaya tampil bercakap benar.

“Dia salah seorang daripada lima individu yang menaiki bot laju ketika Tangmo jatuh ke dalam Sungai Chao Phraya pada 24 Februari lalu.

“Hanya dia yang mengakui dakwaan itu selepas didesak penyiasat,” ujar polis.

Empat individu lain dalam bot itu berdepan tuduhan lebih serius namun kesemua menafikan dakwaan itu.

Mereka ialah Wisapat “Sand” Manomairat, Nitas “Job” Kiratisoothisathorn, Tanupat “Por” Lerttaweewit dan Phaiboon “Robert” Trikanjananun.

Pada Isnin, Nitas iaitu salah seorang daripada lima individu itu dituduh bersubahat dengan orang lain bagi mengelakkan tuduhan jenayah dan memusnahkan bukti.

Polis akan mendakwa seorang lagi yang dipercayai menasihatkan kelima-lima individu di dalam bot itu tentang cara mereka harus bercakap dengan penyiasat.

Ketua balai polis berkata, peguam Sittra Biabungkerd yang bertemu dua orang selepas kejadian itu bukan suspek keenam. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram