PRESIDEN Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menuduh tentera Rusia menyerang pasukan misi kemanusiaan di bandar Mariupol, dalam serangan yang disifatkannya sebagai 'operasi keganasan'.
Zelenskyy berkata, walaupun kira-kira 100,000 orang telah dipindahkan dari bandar-bandar utama di negara itu dalam tempoh dua hari, namuan sejumlah penduduk di beberapa lokasi lain gagal untuk keluar dari kawasan masing-masing.
Zelenskyy berkata, beliau cuba menghantar konvoi trak bantuan yang membawa makanan, air dan ubat-ubatan, tetapi Rusia terlebih dahulu menempatkan kereta kebal di laluan tersebut.
Sebelum ini, Rusia dikecam hebat kerana didakwa menyerang sebuah hospital di Mariupol, namun Kementerian Pertahanan republik itu menafikan dakwaan itu.
Menurut data terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 2.3 juta penduduk melarikan diri dari Ukraine, kira-kira separuh daripada mereka merupakan kanak-kanak.
Sementara tu, dalam satu perbualan telefon dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Canselor Jerman ,Olaf Scholz dan Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa agar tindakan ketenteraan dihentikan segera di Ukraine.
Ini susulan rundingan Ukraine dan Rusia di Turki tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif untuk melaksanakan gencatan senjata.
Dalam rundingan itu, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba telah bertemu Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.
"Nampaknya ada keputusan lain dibuat untuk perkara ini di Rusia," kata Kuleba.
Putin pada Khamis berkata, rakyatnya akan mencari jalan bagi menyesuaikan diri dengan sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap republik itu kerana menceroboh Ukraine. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram