Macron, Putin setuju kerjasama elak keadaan bertambah buruk di Ukraine


  • Benua
  • Selasa, 08 Feb 2022

KEDUA-DUA pemimpin bersetuju bahawa ketegangan semasa boleh mengakibatkan konflik yang cuba dielakkan kedua-dua pihak.  — Agensi

PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin memberi jaminan pada Isnin, beliau akan melakukan "segala yang boleh untuk mencari mekanisme yang boleh diterima” untuk menyelesaikan ketegangan geopolitik di sekitar Ukraine, selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Moscow.

Dalam satu sidang akhbar bersama selepas mengadakan pertemuan lebih enam jam, Macron dan Putin mengesahkan hasil positif dan perbincangan lanjut akan diteruskan.

Presiden Perancis menyatakan bahawa pertemuan itu membuahkan hasil ke arah "penumpuan" yang membolehkan mereka bergerak ke hadapan untuk beberapa minggu akan datang serta mengelakkan sebarang ketegangan di Ukraine, lapor Agensi Anadolu.

"Beberapa hari akan datang akan menjadi penentu dan membabitkan perbincangan yang rancak...Kami mempunyai keinginan untuk bekerjasama demi menjamin kestabilan dan keselamatan di Eropah," kata Macron.

Putin juga mengesahkan bahawa beliau mempunyai beberapa idea dan cadangan yang "mungkin boleh dijadikan asas kepada langkah bersama selanjutnya."

Macron kini dalam lawatan ke Moscow dan Kyiv, Ukraine bagi mengadakan rundingan akibat kebimbangan konflik ketenteraan di sempadan timur Eropah.

Rusia telah menempatkan 100,000 tentera di sekitar sempadan Ukraine, menimbulkan kebimbangan terhadap pencerobohan.

Putin bagaimanapun menolak kemungkinan itu, beliau turut mendakwa Ukraine mengumpulkan tenteranya di sekitar wilayah Donbas yang dituntut kedua-dua pihak.

Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa ketegangan semasa boleh mengakibatkan konflik yang cuba dielakkan kedua-dua pihak.

"Kami akan melakukan segala-galanya dalam kapasiti kami untuk mencari mekanisme yang boleh diterima.

"Ia adalah isu rumit tanpa penyelesaian yang mudah,” kata Putin sambil menambah Macron telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut semasa lawatannya ke Kyiv.

"Kami akan mengadakan perbincangan menerusi telefon selepas Macron berkunjung ke Ukraine, dan kami akan membincangkan mengenai perkara yang boleh diterima kepimpinan Ukraine dan merangka strategi lanjut berdasarkan hasil perjumpaan itu," katanya.

Putin berulang kali menegaskan bahawa beliau menentang peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan menerima ahli baharu dari timur Eropah kerana ia mewujudkan ancaman kepada negaranya.

"Jika Ukraine menjadi sebahagian daripada Nato dan jika mereka memutuskan untuk menuntut semula Crimea menggunakan tentera, ini bermakna negara Eropah secara automatik berperang dengan Rusia," beliau memberi amaran.

"Keupayaan tentera Nato dan Rusia tiada tandingan. Tiada pemenang. Kami ingin mengelakkan perkara itu daripada berlaku, dan itulah sebab Macron berada di sini,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada Macron atas cubaannya mengkaji semula isu keselamatan di Timur.

Moscow memerlukan "jaminan keselamatan" daripada Nato dan Washington, termasuk tidak menerima keahlian baharu dan tidak menggunakan infrastruktur ketenteraan berbahaya di sempadan timur.

Macron, yakin Perancis akan memainkan peranan penting dalam menyelesaikan krisis dan telah mengaitkan resolusinya dengan pengumuman bertanding semula jawatan presiden dalam pilihan raya presiden akan datang pada April.

Macron menegaskan bahawa pelaksanaan perjanjian Minsk yang ditandatangani antara Kyiv dan Moscow sahaja boleh menamatkan krisis itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Putin, Macron, Ukraine, Donbas