SERAMAI 16 orang maut manakala 50 yang lain dimasukkan ke hospital di sekitar wilayah Buenos Aires, Argentina selepas mengambil dadah campuran dipercayai kokain tiruan.
Polis menerima laporan bahawa kokain itu dijual oleh individu di bandar Shanty Puerta 8, Tres de Febrero dan sembilan individu berjaya ditahan dalam serbuan.
Penyelidik percaya bahawa dadah terlarang itu telah dicampur dengan bahan beracun atau bahan lain yang kelihatan sama dengan kokain.
Mangsa dipercayai mengalami sawan dan serangan jantung.
Menteri Keselamatan Wilayah Buenos Aires menyeru semua pembeli kokain dalam tempoh 24 jam yang lalu supaya membuang dadah itu dengan segera.
Penyelidik sedang menunggu hasil bedah siasat untuk membandingkan kokain yang dirampas dalam serbuan dengan kokain yang dimakan mangsa.
Mereka yang menjadi mangsa kokain tiruan itu kebanyakannya dari daerah Hurlingham, Tres de Febrero dan San Martin.
"Kokain tiruan telah membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan menyebabkan 50 orang yang lain masuk hospital di sekitar wilayah Buenos Aires," kata pihak berkuasa.
Di San Martín, polis mengenal pasti empat daripada mangsa iaitu Hernán Castro, 45, Martín López, 36, Dino Melgarejo, 33, dan Fernando Yacante, umur tidak dinyatakan, lapor Buenos Aires Times.
Kokain adalah perangsang ketagihan yang diekstrak daripada daun tumbuhan koka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram