Polis Sabah bongkar sindiket kurier dadah Semenanjung


  • 112
  • Jumaat, 28 Jan 2022

KETIGA-TIGA individu itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Gambar hiasan

POLIS menahan tiga lelaki dan merampas 9.21 kilogram dadah jenis syabu serta 1 kilogram ketamin bernilai RM386,848 dalam tiga tangkapan berasingan sekitar Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asistan Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam kes pertama dua hari lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang cuba melarikan diri apabila melihat kehadiran polis, ketika dia sedang memegang satu kotak berisi tujuh bungkusan syabu seberat 7.17 kilogram di Lorong Ranggung Batek Likas.

Beliau berkata ia kemudiannya membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai terlibat dalam proses jual beli dadah di sebuah lokasi di Luyang, sebelum disusuli dengan satu lagi tangkapan seorang lelaki berusia 50 tahun di hadapan pusat beli belah di Alam Mesra, kira-kira pukul 2 petang Khamis.

"Hasil pemeriksaan di dalam beg silang yang dibawanya, polis menemukan syabu 1.02 kilogram,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Menurutnya, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Kampung Bantayan, Inanam yang membawa kepada penemuan 1.02 kilogram syabu dan 1 kilogram ketamin.

Mohd Zaidi berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket ini ialah membuat pesanan dadah dari Semenanjung dengan menggunakan khidmat penghantaran kurier.

"Mereka didapati menggunakan bungkusan produk berasaskan kelapa untuk mengaburi mata pihak polis. Dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada penagih sekitar Kota Kinanalu,” tambahnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram