Wartawan dibunuh kerana lapor isu rasuah kerajaan


  • Benua
  • Selasa, 01 Feb 2022

TOLEDO merupakan wartawan keempat dibunuh di negara itu dalam masa kurang dari sebulan.— Agensi

SEORANG wartawan portal berita dalam talian maut selepas ditembak dan diserang oleh tiga individu di bandar Zitacuaro, Mexico baru-baru ini.

Mangsa, Roberto Toledo merupakan wartawan keempat dibunuh di negara itu dalam masa kurang dari sebulan.

Menurut Pengarah portal berita Monitor Michoacán, Armando Linares, dia percaya pembunuhan itu ada kaitan dengan ancaman yang diterima oleh portalnya kerana melaporkan isu rasuah kerajaan.

"Kematian rakan sekerja kami adalah kerana pendedahan berhubung pentadbiran rasuah dan pegawai rasuah serta ahli politik ketika ini.

"Pasukan Monitor Michoacán mengalami ancaman bunuh sejak berminggu-minggu, malah berbulan-bulan. Kami tahu dari mana datangnya semua ini," katanya.

Tambahnya lagi, kes kematian Toledo kini sedang dalam siasatan oleh pendakwa raya di Michoacán.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Melindungi Wartawan di Mexico, Jan-Albert Hootsen Toledo bekerja sebagai pengendali kamera dan editor video untuk Monitor Michoacán.

Katanya, dia diserang oleh tiga lelaki bersenjata semasa merakam video di pejabat seorang peguam tempatan, Joel Vera.

"Kami mengklasifikasikan Toledo sebagai pekerja media atau pekerja akhbar," kata Hootsen.

Dalam pada itu, jurucakap Presiden Andrés Manuel López Obrador, Jesús Ramírez berkongsi di laman sosial Twitter menyatakan kerajaan memandang serius akan kes kematian Toledo.

"Kami akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan perbandaran untuk menyelesaikan kes itu.

"Kami tidak akan membiarkan perkara ini terlepas daripada hukuman kerana kerajaan mempertahankan kebebasan bersuara dan hak untuk mendapatkan maklumat," tulis Ramírez. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram