SEBUAH hotel yang mempunyai sebuah bilik berkaca untuk tetamunya yang menghadap ke arah kandang harimau diarahkan tidak lagi menawarkan pakej seperti itu di timur China baru-baru ini.
Arahan penutupan bilik itu dikeluarkan oleh pegawai kerajaan atas alasan bimbang tentang isu-isu kebajikan haiwan.
Sebelum ini, terdapat satu rakaman video yang berlegar di media sosial menunjukkan seekor harimau berjalan-jalan di tepi tingkap kaca bilik tersebut sehingga mencetuskan perdebatan hangat tentang perlindungan haiwan, keselamatan dan lain-lain isu.
Bilik berkaca itu terdapat di Hotel Sendi Tribe Treehouse di Nantong, timur China.
Hotel itu dihubungkan dengan Taman Safari Hutan Nantong, salah sebuah zoo berskala besar di rantau tersebut yang mempunyai hampir 20,000 haiwan liar.
Media kerajaan melaporkan, harimau dan haiwan lain boleh berasa cemas apabila begitu dekat dengan kaca.
Hotel itu pernah menawarkan bilik kepada pengunjung-pengunjung dengan pemandangan yang menghadap ke arah zirafah, singa dan kuda belang.
Radio Kebangsaan China menyatakan, hotel itu mungkin menggunakan Tahun Harimau mengikut kalender Cina sebagai gimik pemasaran dan mempromosikan bilik menghadap haiwan tersebut menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram