Rusuhan maut angkara datang lambat


  • Benua
  • Rabu, 26 Jan 2022

KEADAAN pusat karaoke yang hangus dibakar kumpulan perusuh dalam kejadian di Kota Sorong pada awal pagi Selasa. — Agensi

SEBANYAK 19 orang maut akibat perselisihan antara dua kumpulan perusuh melibatkan suku asli Papua, Kei dan Pelauw di Kota Sorong, Papua Barat, Indonesia.

Ketua Perhubungan Awam Polis Papua Barat, Kombes Adam Erwindi berkata, pergaduhan itu terjadi pada awal pagi Selasa.

Katanya, kekecohan bermula apabila salah seorang mangsa yang merupakan sebahagian ahli kumpulan pemuda Kei bertemu dengan sekumpulan pemuda Pelauw di Jalan Sungai Maruni, Desa Sawagumu.

“Mangsa yang berumur 20 tahun dikatakan datang lambat ke pertemuan antara kedua-dua kumpulan itu hingga hal (kelewatan) mencetuskan pergaduhan," katanya seperti dilapor portal Detik.com.

Adam berkata, mangsa yang berjaya melarikan diri bagaimanapun dapat ditangkap dan dipukul dengan parang serta lembing di kepala hingga cedera parah.

Katanya, sebilangan rakan mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu segera datang menyelamatkannya sebelum membawa mangsa ke Hospital Solube Solu di Bandaraya Sorong bagi mendapatkan bantuan.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital,” katanya.

Tambah Adam, kumpulan pemuda Kei segera membalas dendam, tetapi kumpulan pemuda Pelauw melarikan diri ke Jalan Gunung Jufri.

Akibatnya, kumpulan pemuda Kei melakukan rusuhan dengan bertindak membakar sebuah pusat karaoke hingga mengorbankan 18 mangsa lain dipercayai orang awam.

Polis terpaksa menyuraikan rusuhan dengan menggunakan meriam air memandangkan perusuh itu kebanyakannya bersenjatakan parang dan lembing. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rusuhan, Kei, Pelauw, pergaduhan, Indonesia,