MAYAT wanita tidak dikenali ditemui dalam keadaan membusuk dan reput di Pulau Berhala, Tanjung Beringin, Serdang Bedagai, Sumatera Utara, Indonesia pada awal pagi Rabu.
Mayat tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan kedua-dua belah tangan terikat, demikian menurut laporan berita dipetik daripada Detik.com.
Ketua Polis Daerah Sergai Ajun Komisaris Besar, Ali Machfud berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota pasukan Pengamanan Perbatasan berhubung penemuan mayat wanita dalam keadaan reput tanpa identiti di pantai Pulau Berhala.
Beliau berkata, berdasarkan kenyataan Ketua Polis Sektor Polis Tanjung Beringin, Ajun Komisaris Tobat Sihombing berkata, mayat tersebut ditemui dalam keadaan kedua-dua tangannya diikat dengan tali.
"Menurutnya, mayat itu dipindahkan supaya tidak hanyut dibawa ombak. Mayat dikatakan dalam keadaan reput dan hancur daripada kepala hingga kaki.
"Keadaan mukanya juga tidak dapat dilihat lagi bagi proses pengecaman identiti. Bahagian kaki dari lutut hingga ke tapak kaki juga sudah hilang," katanya pada Khamis..
Katanya, mayat itu kemudian dibawa dari Pulau Berhala ke jeti lelong ikan Bedagai di Desa Tebing Tinggi.
Setibanya di bahagian limbungan, polis membawa mayat wanita tanpa identiti itu terus ke Hospital Lubuk Pakam untuk tujuan bedah siasat.
“Bukti lain yang ditemui ialah dua buah bekas plastik biru berjenama Delo Silver Caltex, seutas tali dan sehelai coli berwarna hitam,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram