
KEMPEN hentikan tabiat meludah merata-rata sudah dijalankan sejak sekian lama di India.
Namun, tabiat itu masih menjadi kebiasaan masyarakat India.
Kesan meludah seperti air liur jernih, kahak, atau air liur merah (daripada kunyahan tembakau dan sirih) sangat biasa ditemui di jalan dan tempat awam India.
Seiring dengan situasi pandemik Covid-19, tabiat meludah merata-rata ini semakin membimbangkan kerana ia boleh menjadi medium penyebaran virus.
Pihak berkuasa dan pakar kesihatan cuba mendidik masyarakat tentang kesan buruk meludah di merata-rata tempat sejak bertahun-tahun lama.
Pasangan suami isteri, Raja Narasimhan dan Priti merupakan antara pakar kesihatan yang berusaha mendidik masyarakat India supaya tidak meludah merata-rata secara sembarangan.
Mereka menjadi aktivis anti meludah sejak 2010 dan sejak itu mereka giat mengadakan kempen larangan meludah secara atas talian dan luar talian dengan kerjasama pihak kerajaan tempatan.
Namun, inisiatif pasangan ini tidak mendapat sambutan kerana sikap acuh tak acuh penduduk.
Malah, segelintir daripada penduduk amat marah apabila diterangkan tentang kesan buruk meludah secara sambil lewa.
Raja Narasimhan mendakwa dia pernah dimarahi seseorang setelah menegurnya meludah ke dinding.
"Apa masalah kamu? Adakah ini harta ayah kamu?" kata lelaki itu kepada Raja Narasimhan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram