Matahari tiruan catat rekod baharu dunia


  • Benua
  • Isnin, 03 Jan 2022

EAST berjaya mengekalkan operasi selama 1,056 saat dalam percubaan terbaharu di Hefei, wilayah Anhui. — Agensi

'MATAHARI tiruan' China atau experimental advanced superconducting tokamak (EAST), mencapai operasi plasma suhu tinggi berterusan selama 1,056 saat dalam eksperimen terbaharu negara oitu.

Kejayaan itu mencatat rekod terbaharunya sebagai masa operasi 'matahari tiruan' paling lama di dunia.

Kejayaan pada Khamis (30 Disember) itu diumumkan oleh Gong Xianzu, seorang penyelidik di Institut Fizik Plasma Akademi Sains China (ASIPP), yang bertanggungjawab ke atas eksperimen yang dijalankan di Hefei, ibu kota wilayah Anhui.

“Kami mencapai suhu plasma 120 juta darjah Celsius selama 101 saat dalam percubaan pada separuh pertama 2021.

"Kali ini, operasi plasma dikekalkan selama 1,056 saat pada suhu hampir 70 juta darjah Celsius, meletakkan asas saintifik dan eksperimen yang kukuh ke arah mengoperasikan reaktor gabungan," kata Gong.

Matlamat utama EAST adalah untuk mencipta pelakuran nuklear seperti matahari dengan menggunakan sejumlah besar bahan deuterium atau hidrogen berat yang boleh ditemukan dalam laut bagi menyediakan aliran tenaga bersih yang stabil.

Berbanding dengan bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas asli, yang semakin kehabisan sumber dan mengancam alam sekitar, bahan mentah yang diperlukan untuk 'matahari tiruan' hampir tidak terhad boleh didapati di bumi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

matahari, China, EAST, Gong Xianzu,