Bangunan terbakar, 27 dikhuatiri maut


  • Benua
  • Jumaat, 17 Dis 2021

KEBAKARAN yang berlaku sekitar 10 pagi waktu tempatan dipadamkan dalam masa setengah jam. — Agensi

JABATAN Bomba Osaka, Jepun memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 27 orang dikhuatiri maut dalam kejadian kebakaran di bandar itu pada Jumaat.

Menurut Pegawai jabatan bomba bandar Osaka, Akira Kishimoto, kejadian itu berlaku di tingkat empat bangunan yang terletak di kawasan perniagaan yang sibuk berhampiran stesen kereta api Kitashinchi dan pusat beli-belah di bandar Osaka.

"Kebakaran itu melibatkan 28 mangsa dan 27 daripadanya ditemui dalam keadaan kaku seperti mendapat serangan jantung.

"Sekurang-kurangnya 23 mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya.

Tambahnya lagi, kebakaran yang berlaku sekitar 10 pagi waktu tempatan dipadamkan dalam masa setengah jam.

Katanya, pihak polis sedang menyiasat punca kebakaran dan disyaki ia dilakukan secara sengaja.

Rakaman media tempatan menunjukkan berpuluh-puluh anggota bomba di luar bangunan, dengan bahagian dalam yang hangus di tingkat empat kelihatan melalui tingkap yang pecah.

Bangunan bertingkat itu menempatkan beberapa jenis perniagaan antaranya klinik psikiatri, salun kecantikan, kedai pakaian dan pusat pengajian bahasa Inggeris.

Osaka ialah bandar metropolis kedua terbesar Jepun selepas Tokyo.

Dengan piawaian bangunannya yang ketat, kebakaran maut adalah kejadian yang luar biasa di Jepun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kebakaran, maut, osaka, jepun, bomba, Akira Kishimoto