Tragedi istana angin, lima kanak-kanak maut


  • Benua
  • Jumaat, 17 Dis 2021

PENDUDUK di Devonport berkumpul dan meletakkan bunga di lokasi kejadian sebagai tanda sokongan kepada keluarga mangsa. — Agensi

PENDUDUK di Devonport, Pulau Tasmania, Australia menjalani tempoh berkabung sebagai peringatan tragedi lima kanak-kanak yang maut dalam satu kejadian permainan istana angin yang melayang ditiup angin kuat.

Dalam kejadian yang berlaku pada Khamis, kanak-kanak berkenaan maut selepas terjatuh dari istana angin tersebut manakala tiga lagi dilaporkan kritikal dan kini sedang mendapat rawatan di hospital.

Menurut laporan berita tempatan, mangsa yang maut merupakan tiga lelaki dan dua perempuan berusia 11 atau 12 tahun.

Menurut Datuk Bandar Devonport, Annette Rockliff, kejadian itu memberi kesan yang mendalam kepada penduduk di bandar itu.

Katanya, dia dan kira-kira 25,000 penduduk di bandar itu turut berduka cita dan memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.

“Sebagai datuk bandar hati saya turut berduka untuk komuniti saya. Sebagai ibu dan nenek, saya terharu.

"Hari yang sepatutnya menjadi hari yang penuh keseronokan dan perayaan untuk hari terakhir tahun persekolahan tetapi ia berakhir dengan cara yang tidak dapat dibayangkan," katanya.

Sepanjang tempoh berkabung, penduduk di Devonport memadam lampu sambutan Krismas mereka dan menyalakan lilin bagi menghormati mangsa.

Selain itu, Rockliff menambah, bendera Australia di dewan bandar juga akan dikibarkan separuh tiang selain penduduk berhimpun dan meletakkan bunga di kawasan kejadian sebagai tanda sokongan kepada keluarga mangsa.

Seorang pekerja pasar raya, yang hanya mahu dikenali sebagai Melissa, adalah antara yang meletakkan bunga di luar sekolah yang pernah dihadiri anaknya beberapa tahun sebelumnya.

"Ia hampir sukar dipercayai.

"Di tempat kerja semalam (Khamis), saya hampir tidak percaya selepas mendengar apa yang berlaku," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Tasmania, Peter Gutwein, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang menyayat hati.

Dalam kejadian tu, kanak-kanak dari Sekolah Rendah Hillcrest di Devonport berkenaan dilaporkan meraikan hujung tahun persekolahan sebelum tiupan angin tiba-tiba mengangkat istana angin itu hampir 10 meter ke udara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram