Pendaki jumpa harta karun milik sisa pesawat terhempas


  • Benua
  • Selasa, 07 Dis 2021

GUNUNG Blanc di Pergunungan Alps Perancis. — Agensi
HARTA karun berbentuk zamrud, delima dan nilam berdekad lamanya tersorok di Gunung Blanc, Perancis akhirnya ditemui oleh sekumpulan pendaki di glasier pergunungan itu dan dipercayai milik pesawat India yang terhempas kira-kira 50 tahun lalu.

Selepas lapan tahun merahsiakan penemuan itu, pendaki itu akhirnya mengakui terjumpa batu permata pada 2013 yang tersembunyi dalam kotak logam di atas pesawat India.

Datuk Bandar Chamonix, Eric Fournier berkata, penemuan batu-batu itu dikongsi pendaki itu pada minggu ini dan harta karun itu dianggarkan bernilai kira-kira 150,000 euro (RM716,800) setiap satu.

Eric sangat gembira dengan penemuan harta karun itu dan kumpulan pendaki itu dipuji kerana mempunyai integriti apabila menyerahkannya kepada polis, seperti yang ditetapkan undang-undang.

Sebanyak dua pesawat Air India terhempas ke Gunung Blanc pada 1950 dan 1966 dan sejak itu pendaki sering menemui serpihan, bagasi dan mayat.

Pada September 2012, India mengutus surat diplomatik sebagai pemilik pesawat Boeing 707 yang terbang dari Mumbai dan terhempas di barat daya Gunung Blanc pada 24 Januari 1966.

Nahas itu mengorbankan 117 orang termasuk perintis program nuklear India, Homi Jehangir Bhabha.

Pihak berkuasa percaya batu berharga itu berkemungkinan berasal dari penerbangan itu yang dalam perjalanan dari Mumbai ke New York. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram