Eropah ambil tindakan mengejut bendung varian Omicron


  • Benua
  • Ahad, 28 Nov 2021

PELANCONG di Afrika Selatan membanjiri lapangan terbang antarabangsa Johannesburg, Afrika Selatan untuk pulang ke negara masing-masing. — Agensi

STRAIN coronavirus baharu yang sangat mudah berjangkit mengundang kebimbangan penduduk dunia apatah lagi beberapa negara Eropah pada Sabtu mengumumkan kes pertama mereka.

Ketika ini kerajaan di seluruh dunia mula menutup pintu untuk membendung varian baharu Covid-19, Omicron.

Kes pertama Strain baharu itu disahkan 'menyerang' Britain, Jerman dan Itali, manakala di Belanda, pihak berkuasa mengkuarantin 61 penumpang dari Afrika Selatan yang didapati positif Covid-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyifatkan varian itu sebagai 'varian membimbangkan'.

Afrika Selatan juga mengadu ia 'dihukum' dengan larangan perjalanan udara kerana pertama kali mengesan varian itu.

Beberapa negara di seluruh dunia dilaporkan mula menyekat perjalanan dari rantau Afrika untuk cuba mengelak sebarang ancaman terhadap usaha global menentang wabak berkenaan.

Varian terbaru ini terbukti lebih mudah merebak daripada varian Delta yang dominan.

Para saintis berlumba-lumba untuk menentukan ancaman yang ditimbulkan oleh strain yang sangat bermutasi, terutamanya sama ada ia boleh mengelak daripada vaksin sedia ada.

Susulan larangan perjalanan yang mengejut itu, pelancong membanjiri lapangan terbang antarabangsa Johannesburg, Afrika Selatan, terdesak untuk menaiki penerbangan terakhir ke negara masing-masing.

Ramai daripada mereka memendekkan cuti dan bergegas pulang dari negara yang popular dengan safari dan ladang anggur itu.

"Ia tidak masuk akal. Kita akan sentiasa mempunyai varian baharu.

"Afrika Selatan menemuinya, tetapi ia mungkin sudah ada di seluruh dunia.

"Virus itu telah pun menyelinap melalui rantaian, dengan kes ditemui di Eropah, Hong Kong dan Israel serta di selatan Afrika," kata pelancong Britain, David Good kepada AFP.

Britain juga pada Sabtu mengumumkan peraturan kemasukan yang lebih ketat untuk semua penumpang yang tiba dan kembali mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Ia selepas negara itu mengesahkan dua kes pertama jangkitan Omicron baharu Covid-19.

Perdana Menteri, Boris Johnson berkata penduduk Britain perlu kembali memakai pelitup muka di kedai dan di pengangkutan awam.

Sebuah hospital di Republik Czech pula mengesahkan kes varian Omicron pada pesakit wanita yang mengembara dari Namibia, Afrika Selatan.

Jerman turut mengesahkan dua kes pertama dalam pengembara yang tiba di lapangan terbang Munich dari Afrika Selatan.

Sementara itu, Itali mengumumkan kes pertama jangkitan varian baharu Covid-19 itu dalam kalangan pengembara dari Mozambique.

Pegawai Belanda berkata, varian Omicron 'mungkin' berada dalam kalangan 61 penumpang yang telah tiba dalam dua penerbangan dari Afrika Selatan sehari sebelumnya dan diuji positif untuk Covid-19.

Penumpang dalam dua penerbangan KLM, yang berlepas sebelum Belanda mengumumkan larangan mereka ke atas pelancong dari wilayah itu, telah dikuarantin di sebuah hotel.

Di Amerika Syarikat (AS), seorang pegawai Rumah Putih berkata, Presiden Joe Biden diberi taklimat mengenai situasi Omicron dan pegawai kesihatan sedang memantau keadaan.

Terdahulu, Belgium sudahpun mengumumkan kes pertamanya membabitkan orang yang tidak divaksinasi yang pulang dari luar negara.

WHO berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk memahami varian itu, yang pada mulanya dikenali sebagai B.1.1.529. AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram