Bank laksana dasar kerja empat hari seminggu, tanpa potong gaji


  • Benua
  • Khamis, 25 Nov 2021

ATOM Bank dilancarkan pada 2016 sebagai bank mudah alih yang menawarkan akaun simpanan, pinjaman perniagaan dan gadai janji melalui aplikasinya. — Agensi

ATOM Bank di United Kingdom melaksanakan dasar baharu bekerja empat hari seminggu tanpa pemotongan gaji.

Ia menjadikan institusi perbankan berkenaan sebagai syarikat terbesar di negara itu yang mengorak langkah seumpama itu.

Memetik laporan CNN Business pada Selasa, bank itu mengumumkan mereka mengurangkan tempoh bekerja mingguan untuk 430 kakitangannya daripada 37 jam setengah kepada hanya 34 jam.

Mereka menjangkakan kebanyakan pekerja mengambil cuti sama ada Isnin atau Jumaat.

Perubahan ini adalah secara sukarela dan bermakna kakitangan akan bekerja lebih lama dalam tempoh sehari.

Syarikat itu berkata, dasar berkenaan yang berkuat kuasa pada 1 November lalu diperkenalkan untuk menyokong kesejahteraan mental dan fizikal pekerja syarikat itu serta meningkatkan produktiviti.

Ketua Pegawai Eksekutif Atom Bank, Mark Mullen dalam satu kenyataan berkata, majoriti pekerja syarikat itu sudah beralih ke minggu kerja baharu.

"Seminggu empat hari akan memberikan pekerja kami lebih banyak peluang untuk mengejar minat mereka, meluangkan masa bersama keluarga mereka dan membina keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang lebih sihat," kata Mark. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bank. Atom bank, London, UK, cuti, kerja, Mark Mullen