600 keluarga miskin terima bantuan kemanusiaan di Afghanistan


  • Benua
  • Khamis, 18 Nov 2021

MCM dijangka menyerahkan 1,500 bantuan baju sejuk di sebuah lagi kawasan penempatan golongan miskin di Kabul, Afghanistan. — Agensi

PERJALANAN mencabar delegasi Muslim Care Malaysia (MCM) sejauh kira-kira 10 kilometer ke Pul-e Charkhi di Afghanistan berbaloi apabila 600 keluarga miskin berjaya diberikan bantuan bekalan makanan.

Selain cuaca sejuk dengan suhu satu darjah Celsius, anggota delegasi turut berdepan risiko keselamatan.

MCM yang kini dalam misi bantuan kemanusiaan di negara bergolak itu menghulurkan bantuan berupa beras, gandum serta minyak masak termasuk kepada golongan ibu tunggal, warga emas dan anak yatim piatu di Pul-e Charkhi dan Paghman.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, secara keseluruhan kira-kira RM140,000 dibelanjakan bagi sumbangan bekalan makanan tersebut dengan nilai RM220 bagi setiap satu bakul makanan.

"Bekalan berupa 50 kilogram (kg) tepung gandum, 10 kg beras serta lima liter minyak masak ini mampu dimanfaatkan dalam masa sebulan oleh kira-kira 3,300 individu miskin," katanya.

MCM sebelum ini turut menyumbang 60 bakul makanan buat golongan ibu tunggal di sekitar Herat di Kabul.

Dalam pada itu, MCM dijangka menyerahkan 1,500 bantuan baju sejuk di sebuah lagi kawasan penempatan golongan miskin di Kabul.

Afghanistan terus bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas, susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya.

Semalam, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh manakala dua lagi cedera dalam dua letupan bom yang berlaku di barat Kabul.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram