Moderna tangguh vaksin untuk remaja


  • Benua
  • Rabu, 03 Nov 2021

FDA menangguhkan kelulusan vaksin berkenaan kepada golongan remaja bagi menilai risiko miokarditis selepas menerima vaksin. — Reuters

PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) menangguhkan kelulusan penggunaan vaksin Covid-19 bagi golongan remaja untuk memberi masa menilai risiko miokarditis atau keradangan jantung, kata firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna.

Pada Jumaat, FDA memaklumkan kepada Moderna bahawa agensi tersebut memerlukan masa untuk menilai analisis antarabangsa mengenai risiko miokarditis selepas vaksinasi.

Syarikat itu berkata, penilaian bagi mengesyorkan vaksin Moderna untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun mungkin berlarutan sehingga Januari 2022.

Miokarditis dan risiko yang berkaitan, perikarditis (keradangan di sekitar jantung) sebelum ini dikaitkan dengan vaksin Pfizer dan Moderna terutama dalam kalangan remaja lelaki dan lelaki muda.

Bagaimanapun menurut satu kajian yang diterbitkan pada Ogos oleh Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, risiko terbabit menjadi tinggi selepas jangkitan Covid-19.

Tambahnya, CDC mendapati bahawa miokarditis jarang berlaku sejurus divaksin dengan vaksin mRNA.

Sementara itu, vaksin mRNA Covid-19 oleh Pfizer-BioNTech telah menerima kelulusan untuk disuntik kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dengan dos kecil berbanding orang dewasa.

Sebelum ini, Moderna menunggu kelulusan FDA sama ada ia diluluskan atau tidak terhadap individu berumur 18 tahun. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram