Saintis cipta penampal vaksin tidak perlu simpan dalam suhu sejuk


  • Benua
  • Sabtu, 30 Okt 2021

PENAMPAL vaksin berkemungkinan mempertingkatkan keberkesanan vaksin. — Agensi

REVOLUSI perubatan kini sedang dalam rencana untuk mencipta vaksin yang berkesan dan diberi tanpa menggunakan jarum suntikan.

Penyelidik dalam usaha untuk mencipta penampal yang mampu memasukkan vaksin atau ubat melalui kulit tanpa rasa sakit.

Idea itu merupakan usaha penyelidik untuk melipatgandakan usaha sejak pandemik Covid-19 sekali gus menyelamatkan nyawa.

Ia juga boleh mengelakkan kanak-kanak daripada menangis kesakitan akibat disuntik, selain membantu golongan yang fobia terhadap jarum suntikan.

Selain itu, penampal pada kulit juga dapat memudahkan lagi pengedarannya kerana tidak perlu disimpan dalam suhu sejuk.

Ia juga berkemungkinan mempertingkatkan keberkesanan vaksin.

Jurnal Science Advances berkongsi satu kajian yang dilakukan terhadap tikus makmal.

Kajian yang dilakukan pasukan penyelidik Australia-Amerika Syarikat (AS) itu berjaya mencatat hasil memberangsangkan.

Dalam kajian itu, mereka menggunakan penampal berukuran satu sentimeter persegi yang mengandungi lebih 5,000 'pepaku' mikroskopik bersalut vaksin percubaan.

Menurut pakar virologi di University of Queensland yang juga pengarang bersama kertas kajian terbabit, David Muller, pepaku mikroskopik itu begitu halus sehingga mata kasar tidak akan dapat melihatnya.

"Penyelidik menggunakan suatu dipanggil vaksin 'subunit' yang menghasilkan semula 'pepaku' pada permukaan coronavirus.

"Tikus makmal diberi vaksin itu sama ada melalui penampal berkenaan selama dua minit ataupun menggunakan picagari," katanya.

Tambahnya lagi, sistem imun pada tikus diberi penampal terbabit didapati menghasilkan paras antibodi peneutral yang tinggi selepas menerima dua dos.

Jelasnya lagi, ia termasuk dalam paru-paru yang penting untuk menghentikan Covid-19.

"Selain itu, pencapaian menggunakan penampal berkenaan juga mengatasi hasil suntikan picagari.

"Penyelidik turut mendapati sebuah subkumpulan tikus makmal yang diberi hanya satu dos vaksin mengandungi bahan tambahan dikenali sebagai 'adjuvant' bagi merangsang tindak balas imun, tidak jatuh sakit langsung," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram