Pemantau curiga pembebasan bersyarat Myanmar


  • Benua
  • Selasa, 19 Okt 2021

ANTARA tahanan junta yang dibebaskan dari penjara Insein, Yangon, Myanmar pada Isnin. — AFP
PENGANALISIS politik antarabangsa mengecam tindakan kerajaan junta Myanmar membebaskan kira-kira 1,300 tahanan secara bersyarat.

Menurut penganalisis politik yang pernah berpangkalan di Myanmar, David Mathieson, pembebasan kesemua tahanan berkenaan dengan menandatangani perjanjian untuk tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang junta adalah 'mencurigakan'.

"Perjanjian seperti itu adalah pada dasarnya merupakan bentuk pembebasan bersyarat yang bererti pengawasan dan ancaman berterusan.

"Tindakan itu tidak mengurangkan tindakan keganasan yang junta lakukan sejak sembilan bulan lalu," katanya.

Sementara itu, kumpulan pemantau Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) Myanmar turut mengecam pembebasan berkenaan sebagai satu bentuk ancaman yang ditujukan kepada kerajaan asing.

"Tujuan mereka bukan untuk mengurangkan keganasan," kata AAPP dalam satu kenyataan di Twitter.

Pada Isnin, kerajaan junta Myanmar pimpinan Min Aung Hlaing memaklumkan seramai 5,636 tahanan akan dibebaskan sempena festival Thadingyut pada bulan ini.

Pengumuman berkenaan dibuat selepas ASEAN memutuskan untuk tidak menjemput Aung Hlaing ke sidang kemuncak ASEAN kerana rejim tersebut enggan memenuhi tuntutan blok terbabit supaya meredakan krisis dalaman Myanmar. — AFP

Myanmar, junta, Min Aung Hlaing, ASEAN