Empat pendaki maut dalam runtuhan salji Gunung Chimborazo


  • Benua
  • Isnin, 25 Okt 2021

PASUKAN penyelamat terdiri daripada polis dan tentera masih menjalankan operasi menyelamat ketika ini. — Agensi

EMPAT pendaki maut manakala seorang cedera dalam runtuhan salji salji di Gunung Chimborazo, Quito, Ecuador pada Ahad, kata perkhidmatan keselamatan ECU911.

Menurutnya lagi, kejadian itu menimpa berpuluh pendaki pada ketinggian 6,100 meter, gunung berapi tidak aktif dan tertinggi negara itu yang juga dekat dengan wilayah Andes.

Gunung berapi setinggi 6,263 dari paras laut itu dilitupi salji serta glasier sepanjang tahun dan terletak kira-kira 120 kilometer di selatan Quito.

Berdasarkan laporan media tempatan, maklumat warganegara pendaki yang terkorban itu belum dapat disahkan ketika ini.

Kementerian Alam Sekitar Ecuador kini menutup sekitar kawasan hutan simpan Chimborazo, mankala pasukan penyelamat terdiri daripada polis dan tentera masih menjalankan operasi menyelamat.

Institut Geofizik Quito mendapati, kali terakhir gunung berapi Chimborazo meletus adalah antara awal abad kelima dan akhir abad ketujuh.

Meskipun salji sentiasa muncul di gunung itu, ia jarang dikunjungi pemain ski. Namun, sejak berdekad lalu, banyak kejadian kematian di gunung itu.

Sekitar 1994, runtuhan salji menyebabkan 10 maut termasuk seorang warganegara Switzerland dan enam Perancis.

Serpihan sebuah pesawat Ecuador yang terhempas pada tahun 1979 dengan 59 penumpang ditemui pendaki kira-kira 700 meter dari puncak, pada 2003.

Pada 2005, mayat tiga pendaki yang dipercayai hilang kira-kira 20 dan 30 tahun lalu, ditemui pada ketinggian 5,500 meter. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pendaki, maut, gunung Chimborazo, Equador, ECU911