Daesh dalang serangan masjid di Kandahar


  • Benua
  • Sabtu, 16 Okt 2021

DINDING yang rosak akibat letupan bom di sebuah masjid Syiah di Kandahar, Afghanistan pada Jumaat. — AP
KUMPULAN pengganas Daesh mengaku bertanggungjawab dalam insiden serangan pengeboman bunuh diri di sebuah masjid Syiah di Kandahar, Afghanistan pada Jumaat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 41 orang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan tersebut menerusi Telegram, dua pengebom bunuh diri dari Daesh Khorasan (IS-K) melakukan serangan berasingan di beberapa bahagian masjid berkenaan ketika jemaah sedang mengerjakan solat.

Serangan terbaharu itu mengakibatkan kerosakan pada dinding masjid tersebut manakala sisa runtuhan bertaburan di sepanjang koridor pintu masuk.

Menurut Pengarah Kesihatan Kandahar, Hafiz Abdulhai Abbas, kira-kira 70 orang lagi mengalami kecederaan dalam kejadian terbabit.

Sekurang-kurangnya 15 ambulans dilihat bergegas ulang alik dari lokasi kejadian manakala pengawal Taliban menutup kawasan tersebut.

"Banyak mayat dan mangsa cedera dibawa ke hospital. Kami menjangkakan jumlah itu akan bertambah dan kami memerlukan banyak bekalan darah ketika ini.

"Kami meminta semua media tempatan di Kandahar untuk menyeru orang ramai tampil mendermakan darah," kata seorang doktor di hospital Mirwais.

Dalam pada itu, saksi memberitahu terdengar bunyi tembakan bersama letupan dan seorang pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk menjaga masjid berkenaan berkata tiga rakan sekerjanya ditembak ketika pengebom cuba menceroboh masjid terbabit.

Serangan tersebut berlaku seminggu selepas Daesh mengaku bertanggungjawab ke atas satu lagi insiden pengeboman bunuh diri di sebuah masjid Syiah di Kunduz yang mengorbankan lebih 60 orang. — AFP

Daesh, Afghanistan, Syiah, masjid, bom