Tunang Khashoggi persoal Biden, desak Arab Saudi bertanggung jawab


  • Benua
  • Ahad, 03 Okt 2021

KHASHOGGI (kiri) didakwa dibunuh oleh MBS (kanan) dalam bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2018. — AFP

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden digesa memberikan komitmennya berhubung insiden pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi pada 2018.

Tunang kepada Khashoggi, Hatice Cengiz mahu Biden mendesak Arab Saudi agar bertanggungjawab ke atas kematian wartawan tersebut.

Cengiz menyuarakan kekecewaannya kerana beberapa hari sebelum ulang tahun kematian Khashoggi, penasihat keselamatan nasional AS, Jake Sullivan bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS).

Mohammed sebelum ini didakwa terlibat dalam pembunuhan Khashoggi.

"Adakah ini tanggungjawab yang dijanjikan oleh Biden? MBS mengambil Khashoggi daripada saya dan seluruh dunia.

"Adakah anda akan menyuruh beliau bertanggungjawab atau anda memberi penghargaan kepadanya?" ujar Cengiz.

Cengiz pada Sabtu menyertai demonstrasi di luar bangunan Kedutaan Arab Saudi di Washington, AS dan menghadiri acara menyalakan lilin berdekatan bangunan Capitol.

Khashoggi merupakan seorang figura Arab Saudi terkemuka yang tinggal dalam buangan di AS dan secara lantang mengkritik MBS menerusi kolum penulisannya di The Washington Post.

Pada 2 Oktober 2018, Khashoggi dirakam memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki untuk menguruskan dokumen berkaitan pernikahannya dengan Cengiz.

Menurut para pegawai Turki dan AS, sekumpulan individu menunggu Khashoggi dalam bangunan tersebut untuk membunuhnya.

Khashoggi didakwa dicekik sehingga mati dan badannya dipotong namun mayatnya sehingga kini masih belum ditemukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram