ENAM jam selepas Facebook, perkhidmatan aplikasi WhatsApp dan Instagram tergendala dan tidak dapat diakses oleh para pengguna media sosial.
Menurut Facebook dalam satu kenyataan, ketiga-tiga aplikasi itu mengalami gangguan pada tengah hari Isnin.
“Kami menyedari bahawa beberapa orang menghadapi masalah untuk mengakses aplikasi dan produk kami.
“Kami berusaha untuk memulihkan keadaan secepat mungkin dan kami meminta maaf atas kesulitan ini,” kata Facebook di laman Twitter.
Sementara itu, laman web pengesanan gangguan Down Detector mencatat puluhan ribu laporan yang berdepan masalah bagi setiap perkhidmatan itu.
Laman Facebook tidak dapat diakses sama sekali selama kira-kira satu jam pada Isnin, sementara Instagram dan WhatsApp dapat diakses namun tidak dapat memuat naik sebarang kandungan baharu atau mengirim mesej.
Sebab pemadaman tidak jelas, namun beberapa pakar keselamatan segera menunjukkan bahawa masalah Sistem Nama Domain (DNS) sebagai kemungkinan penyebabnya.
Jabatan analisis internet Cisco ThousandEyes dalam kenyataan di laman Twitter berkata, masalah dialami itu disebabkan oleh kegagalan DNS yang berterusan.
DNS menterjemahkan nama laman web ke alamat IP yang dapat dibaca komputer dan ia sering disebut ‘buku telefon internet’.
Pada kira-kira jam 06:30 pagi waktu tempatan, Facebook sekali lagi membuat hantaran di Twitter mengatakan bahawa perkhidmatannya mula berfungsi semula.
“Kepada komuniti besar dan perniagaan di seluruh dunia yang bergantung kepada kami, kami minta maaf.
“Kami telah berusaha keras untuk memulihkan akses aplikasi dan perkhidmatan kami dan dengan gembiraya melaporkan bahawa ia kembali dalam talian sekarang. Terima kasih kerana menyokong kami,” katanya. — CNN