15,000 rumah ditenggelami banjir, 70,000 penduduk terjejas


  • Benua
  • Sabtu, 09 Okt 2021

KEADAAN banjir yang menjejaskan Kota Medan, Indonesia sejak Selasa lepas. — Agensi
BENCANA banjir sejak Selasa menenggelamkan kira-kira 15,000 rumah serta menjejaskan 70,685 orang di Kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

Menurut Badan Nasional Tindak Balas Bencana (BNPB), ketinggian paras air banjir mencecah 70 sentimeter (cm).

"Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kota Medan melaporkan terdapat tujuh perkampungan yang terjejas," kata Ketua BNPB, Abdul Muhari pada Sabtu.

Selain Kota Medan, banjir kilat turut berlaku di Batu Bara, Sumatera Utara sejak Rabu.

BPBD Batu Bara melaporkan kira-kira 520 buah rumah ditenggelamkan di kawasan tersebut.

Tambah agensi itu, empat unit fasiliti pendidikan, lima unit fasiliti ibadah dan balai raya antara yang teruk terjejas dalam bencana terbabit.

Dalam pada itu, menurut kajian analisis dilakukan oleh firma inaRISK menunjukkan bahawa Kota Medan dan Batu Bara memiliki potensi berdepan ombak besar pada paras sederhana kepada tinggi.

Mengulas berhubung kajian tersebut, BNPB menyeru para penduduk yang tinggal di pesisir pantai atau kawasan yang berpotensi mengalami ombak besar agar berwaspada.

"Pihak berkuasa tempatan juga perlu bersiap sedia dan melakukan pelan mitigasi dengan mencipta sistem amaran awal bagi mengesan ombak besar, membina tambak serta pelan pemindahan jika banjir kilat seterusnya berlaku," jelas Abdul. — Agensi