Penduduk haram serbu Masjid al-Aqsa lagi


  • Benua
  • Jumaat, 08 Okt 2021

109 penduduk haram Israel menyerbu kompleks Masjid al-Aqsa, di Baitulmaqdis yang diduduki pada Khamis.—Agensi

SERAMAI 109 penduduk haram Israel menyerbu kompleks Masjid al-Aqsa, di Baitulmaqdis yang diduduki pada Khamis bagi menunaikan solat 'senyap'.

Menurut saksi, polis Israel yang berada di tempat kejadian tidak menghentikan tindakan itu.

Lebih ramai penduduk haram dijangka menyerbu masjid berkenaan selepas solat Zuhur.

Sementara itu, hakim di Mahkamah Israel pada Rabu memutuskan bahawa solat 'senyap' Yahudi di Masjid al-Aqsa bukan satu perbuatan jenayah.

Pada masa sama, pihak berkuasa dan pegawai Islam di Baitulmaqdis mengecam perbuatan itu.

Jabatan Wakaf Islam dan Hal Ehwal Masjid al-Aqsa dalam satu kenyataan berkata, keputusan mahkamah Israel adalah tidak sah dan jelas melanggar peraturan Islam dan kesucian masjid.

Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan sebagai satu provokasi terhadap sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.

"Tiada doa untuk orang bukan Islam di Masjid al-Aqsa dan tiada hukuman atau pengadilan yang patut berlaku di masjid," katanya.

Penduduk haram Yahudi kebiasaannya menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa pada setiap pagi dan petang melalui Gerbang Al-Mughrabi

Polis Israel mula membenarkan serangan penduduk haram Yahudi pada 2003, walaupun telah dikutuk berulang kali oleh Jabatan Wakaf Islam.

Masjid al-Aqsa adalah laman ketiga paling suci di dunia untuk umat Islam.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, lokasi penempatan Masjid al-Aqsa ketika Perang Arab-Israel 1967.

Ia mula menjajahi seluruh kota pada 1980, suatu langkah haram yang tidak pernah diakui oleh masyarakat antarabangsa. —Agensi

Yahudi, Masjid al-Aqsa, serbu