Rakyat Malaysia di Singapura dinasihat perbaharui pasport 6 bulan sebelum tamat tempoh


  • Primer
  • Selasa, 07 Sep 2021

SURUHANJAYA Tinggi Malaysia mengalami peningkatan drastik dalam permohonan dan pembaharuan pasport sejak tahun lalu.— The Star

RAKYAT Malaysia di Singapura dinasihatkan untuk memohon atau memperbaharui pasport mereka sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh.

Hal ini berikutan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mengalami peningkatan drastik melibatkan permohonan dan pembaharuan pasport sejak tahun lalu.

Berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Tinggi, peningkatan itu berlaku susulan pelaksanaan langkah-langkah kawalan sempadan oleh Malaysia dan Singapura sejak April tahun lalu.

"Pada 2020, sejumlah 60,387 pasport dikeluarkan berbanding 24,000 pasport pada 2019 iaitu kenaikan sebanyak 151 peratus.

"Sejak Januari tahun ini, sebanyak 69,993 pasport juga telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi,” kata kenyataan itu pada hari Isnin

Tambahnya lagi, masa pemprosesan permohonan pasport atau pembaharuan pasport adalah lapan minggu, dengan syarat semua dokumen sokongan yang berkaitan diserahkan dengan sewajarnya.

Jelasnya lagi, antara inisiatif yang diambil untuk mengatasi kenaikan drastik ini ialah memanjangkan tempoh perkhidmatan kaunter sehingga jam 7 malam bermula Julai 2020, mencetak pasport di Jabatan Imigresen Johor dari September 2020 dan pelaksanaan sistem e-janji temu dan drop box mulai Februari 2021.

Pasport hanya akan diambil sebaik sahaja penerima mendapat notis pemberitahuan dari Suruhanjaya Tinggi.

Selain itu, Suruhanjaya Tinggi turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa selaras dengan langkah-langkah kesihatan Singapura, semua permohonan pasport, pembaharuan dan pengambilan di Suruhanjaya Tinggi hanya boleh dilaksanakan dengan janji temu sahaja.

Sementara itu pada awal tahun ini, ada laporan dan video rakyat Malaysia datang seawal jam 6 pagi untuk beratur di luar Suruhanjaya Tinggi dengan harapan dapat memperbaharui pasport mereka.

Ramai yang meluahkan rasa kecewa kerana menunggu lama di luar kedutaan.

Terdapat puluhan ribu rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura ketika Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac tahun lalu susulan pandemik Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Singapura, Malaysia, Passport