KEMENTERIAN Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia diminta supaya menghantar guru bagi pendidikan anak-anak Orang Rimba di dalam hutan.
Itu merupakan permintaan suku tempatan di wilayah Jambi yang turut dikenali sebagai Suku Anak Dalam.
Ketua Adat Orang Rimba, Tungganai Basemen berkata, pihaknya meminta agar pihak kerajaan dapat membina sekolah di dalam hutan bagi memudahkan anak-anak mereka untuk memperoleh pendidikan sewajarnya.
"Kami amat memerlukan guru yang datang ke lokasi pemukiman ini.
“Jika sekolah berada di luar hutan, sukar bagi anak kami. Untuk itu kami meminta sekolah di hutan, tempat kami tinggal,” katanya.
Permintaan Tungganai adalah salah satu aspirasi Orang Rimba mengenai pendidikan.
Setakat ini pendidikan anak-anak dilakukan dalam dua bentuk, iaitu pendidikan tidak formal oleh kelompok pelawat dan pendidikan formal.
Proses dan bahan pembelajaran disesuaikan dengan persekitaran.
Contohnya, pelajaran mengira dilakukan dengan mengira pokok, menulis dan membaca juga didekatkan dengan perkara-perkara yang mudah difahami oleh mereka.
Bagi mereka yang sudah mahir dan mendapat sokongan ibu bapa, anak-anak hutan mula dimasukkan ke sekolah formal.
Tungganai turut memberitahu, Orang Rimba berpindah-randah untuk mencari nafkah di dalam hutan.
"Keadaan itu menyukarkan anak-anak yang ingin bersekolah seterusnya membantutkan masa depan mereka," ujarnya.
Salah seorang penduduk, Tumenggung Ngrip berkata, sudah ada tiga anak Orang Rimba yang sedang belajar di Bandar Jambi, dan ada yang sedang mengikuti pendidikan sekolah dasar (SD).— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram