PERHIMPUNAN membantah vaksinasi Covid-19 mandatori terhadap pekerja binaan terpaksa dileraikan dengan tindakan agresif oleh pihak polis di Melbourne, Australia.
Polis terpaksa menggunakan penyembur lada, cota dan bom tangan bebola getah untuk meleraikan perhimpunan itu.
Pesuruhjaya Polis Victoria, Shane Patton, berkata seramai 500 anggota terpaksa mengambil tindakan tegas bagi mengawal situasi berkenaan.
"Segala tindakan yang terpaksa diambil terhadap peserta demonstrasi ini amat diperlukan kerana kami tidak boleh membiarkan tingkah laku sebegini berlarutan.
"Kami akan menghentikan protes ini. Kami akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.
Perhimpunan berkenaan disertai lebih 1,000 peserta yang memakai but serta jaket keselamatan berarak di tengah bandar raya.
Mereka juga bertindak ganas dengan menyalakan suar, membaling botol dan menyerang kenderaan polis sambil membantah pemberian vaksin serta larangan perintah berkurung.
Peserta perhimpunan itu juga mengadakan demonstrasi selama beberapa jam, melakukan provokasi terhadap polis dan tidak mengendahkan gesaan pihak berkuasa supaya mereka bersurai.
Tambah Patton lagi, sekurang-kurangnya tiga anggota polis cedera manakala lebih 40 orang ditahan.
Beberapa petugas media turut diserang termasuk seorang wartawan sebuah stesen televisyen dipukul di bahagian kepala ketika sedang bersiaran langsung.
Pemimpin kesatuan sekerja membantah tindakan perhimpunan itu serta mendakwa protes terbabit dirampas oleh aktivis antivaksin.
Melbourne kini sedang melaksanakan perintah berkurung selama tujuh minggu bagi mengawal penularan Covid-19 terutama varian Delta.
Beberapa kluster dikaitkan dengan tapak pembinaan yang mana langkah membendung wabak itu didakwa sebagai lemah.
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa melaksanakan perintah sekatan yang lebih tegas, menutup bilik rehat, mewajibkan vaksinasi dalam kalangan pekerja buruh dan menghentikan operasi tapak binaan selama dua minggu. - Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram