Daesh mengganas, 18 maut termasuk orang awam


  • Benua
  • Jumaat, 17 Sep 2021

ANGGOTA keselamatan Nigeria bergelut untuk mengekang serangan pengganas Daesh. — AFP

SERAMAI 18 anggota keselamatan Nigeria terbunuh dalam satu serangan bom dan roket dilakukan puak pengganas.

Sumber tentera mengatakan insiden berkenaan adalah serangan terburuk yang pernah dihadapi tahun ini.

Pengganas Daesh Barat Afrika (ISWAP) mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang dilancarkan di lebuh raya antara Borno dan Monguno.

Borno dihimpit isu pemberontakan sejak 12 tahun lalu dan sudah pun mengorbankan lebih 14,000 orang.

Kehadiran militan Daesh yang bersekutu dengan kumpulan pemberontak di wilayah itu memburukkan lagi keadaan dan menyukarkan kerajaan Nigeria untuk menamatkan pemberontakan.

Dalam serangan itu, kumpulan pengganas tersebut meletupkan bom di tepi jalan sebelum melepaskan tembakan senjata berat.

Kejadian itu menyebabkan 16 tentera dan dua anggota awam yang turut membantu pasukan keselamatan menentang ISWAP.

“Enam belas askar dan dua anggota Civilian JTF terpaksa membayar harga yang cukup mahal. Dua lagi anggota tentera ditahan oleh pasukan pengganas,” menurut seorang pegawai tentera.

Dalam serangan sama menyaksikan 11 anggota tentera cedera dan beberapa kenderaan juga musnah, kata pegawai berkenaan yang enggan mendedahkan identitinya.

Jurucakap tentera tidak dapat dihubungi untuk mengulas serangan itu manakala satu lagi sumber mengatakan puak militan meletupkan tujuh peledak yang ditanam di jalan ketika konvoi pasukan keselamatan melalui kawasan berkenaan. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

nigeria, serangan, militan