Korea Utara lancar lagi 2 peluru berpandu


  • Benua
  • Rabu, 15 Sep 2021

KOREA Utara melancarkan dua lagi peluru berpandu ke arah Laut Timur. — Agensi
KOREA Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik ke Laut Timur pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Peluru berpandu yang tidak dikenal pasti jenisnya itu dilancarkan dari kawasan pedalaman pada Rabu petang, dan pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang menganalisis dengan lebih lanjut untuk mendapatkan maklumat tambahan.

"Tentera kita mengekalkan sikap bersiap sedia sepenuhnya dengan kerjasama erat AS," kata JCS.

Maklumat lanjut belum diperoleh, seperti arah peluru berpandu itu disasarkan dan jarak ia terbang.

Ujian terbaharu itu adalah pelancaran peluru berpandu balistik kedua oleh Korea Utara tahun ini, dan yang kelima melibatkan peluru berpandu jarak jauh. Ia dilancarkan tiga hari selepas menguji peluru berpandu jarak jauh baharu, jenis Cruise.

Sementara itu, Jepun mengecam tindakan Korea Utara itu dan menganggapnya sebagai ancaman terhadap keamanan dan keselamatan serantau, lapor Sputnik.

"Pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara mengancam keamanan dan keselamatan negara dan rantau kita. Mereka melanggar keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kami membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka," kata Perdana Menteri Yoshihide Suga.

Berikutan itu, Perdana Menteri Jepun telah mengarahkan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, serta mengumpul, meneliti maklumat dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Korea Utara, peluru berpandu, ujian