Lebih 500 laman web sebar maklumat salah Covid-19


  • Benua
  • Rabu, 08 Sep 2021

LAMAN web yang dikenal pasti sebagai penyebar maklumat palsu lebih terkenal berbanding sumber maklumat yang boleh dipercayai mengenai Covid-19. — The Star

LEBIH daripada 500 laman web mempromosikan maklumat tidak tepat mengenai Covid-19 dan vaksin.

NewsGuard, syarikat yang menilai kredibiliti laman web pada Rabu berkata, sebanyak 519 dari 6,700 laman web yang dianalisisnya tmenerbitkan maklumat palsu mengenai wabak itu.

“Beberapa laman web menerbitkan maklumat kesihatan yang meragukan atau teori konspirasi politik, sementara yang lain pula menerbitkan maklumat salah mengenai Covid-19.

“Ini menyukarkan orang ramai membezakan laman web yang boleh dan tidak boleh dipercayai. Dan sebab itulah wujudnya perniagaan besar dalam menerbitkan maklumat ini, “ kata pengasas bersama NewsGuard, Gordon Crovitz.

Pada masa sama, NewsGuard juga mengenal pasti 50 mitos vaksin Covid-19 yang paling banyak disebarkan dalam talian, termasuk dakwaan tidak berasas bahawa vaksin mampu mengubah DNA manusia, menyebabkan kemandulan atau mewujudkan varian baharu wabak terbabit.

Beberapa laman web yang dikenal pasti oleh NewsGuard menjadi lebih terkenal dalam talian berbanding sumber maklumat yang boleh dipercayai mengenai Covid-19.

Selain itu, NewsGuard menggunakan khidmat NewsWhip, sebuah syarikat analisis media sosial, bagi mengukur penglibatan, yang merangkumi interaksi media sosial dan lalu lintas laman web.

Pada masa sama, Crovitz memberi amaran supaya tidak mengambil mudah akan bahaya laman web yang menerbitkan maklumat salah Covid-19, disebabkan mereka hanya mempunyai sebahagian kecil maklumat.

“Kami menilai semua sumber berita dan maklumat yang merangkumi 97 peratus penglibatan di AS.

“Daripada jumlah itu, 7 peratus menerbitkan maklumat Covid-19 yang salah,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

.

vaksin, Covid-19, mitos