'Saya berulang kali bermimpi tentang bapa'


  • Benua
  • Selasa, 07 Sep 2021

MH17 ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro Rusia pada 17 Julai 2014. — AP

AHLI keluarga mangsa nahas pesawat Malaysian Airlines MH17 mula memberikan keterangan dalam perbicaraan empat suspek yang disyaki dalang insiden menyayat hati itu.

Kira-kira 90 ahli keluarga mangsa akan memberi keterangan di mahkamah di Schiphol, Amsterdam, Belanda selama tiga minggu akan datang.

Ria van der Steen yang kehilangan bapa dan ibu tirinya dalam tragedi itu, merupakan orang pertama memberikan keterangan pada perbicaraan berkenaan.

"Saya berulang kali bermimpi tentang bapa," kata van der Steen yang menjelaskan dia mengalami mimpi itu sejak insiden itu berlaku.

Dalam kejadian itu, mayat bapanya dikenal pasti melalui ketulan kecil tulang tangan.

Pada 17 Julai 2014, MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di wilayah Donetsk, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.

Seramai 298 orang terkorban termasuk 283 penumpang dan 15 kru. Kesemua mangsa berasal dari 10 negara berbeza tetapi kebanyakannya warga Belanda.

Perbicaraan empat suspek iaitu Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Leonid Karchenko dan Oleg Pulatov dibuat di Belanda pada tahun lalu.

Kesemua suspek disyaki ahli kumpulan pemisah pro-Rusia yang membantu pemberontak menentang tentera kerajaan Ukraine di timur Ukraine.

Seorang lagi ahli keluarga mangsa, Vanessa Fizk mahu hukuman yang setimpal dikenakan terhadap dalang insiden tersebut.

Fizk yang merupakan warga Australia, kehilangan ibu bapanya dalam kejadian berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MH17, nahas, Ukraine, Belanda, Rusia